KERAJAAN JOHOR ISYTIHAR CUTI PERISTIWA SEMPENA PENCAPAIAN GEMILANG JDT, SUKAN JOHOR


Kenyataan media Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengisytiharkan Ahad, 16 Oktober 2022 sebagai hari cuti khas peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor.

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, pengisytiharan itu bersempena kejayaan gemilang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super Malaysia kali ke-sembilan berturut-turut dan memenangi 10 piala dalam lain-lain kejuaraan pada tahun 2022.

“Pemberian cuti khas peristiwa ini juga dibuat sebagai tanda meraikan kejayaan cemerlang Negeri Johor menjuarai Kejohanan Sukan SUKMA Edisi Ke-20 lalu, iaitu buat pertama kalinya semenjak ia mula dianjurkan pada tahun 1986, dengan mengungguli kutipan pingat sebanyak 77 emas sekali gus melepasi jauh sasaran yang ditetapkan iaitu 55 emas.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga ingin memberi penghargaan kepada beberapa acara sukan lain yang disertai oleh pasukan Negeri Johor yang mencatatkan kecemerlangan dan merangkul kejuaraan sepanjang 2022 seperti bola jaring menerusi Johor Jewels menjuarai Sooka Netball Super League (NSL) 2022.

“Pasukan sepak takraw juga beraksi cemerlang apabila berjaya menjuarai Piala Tun Ali pada bulan Ogos yang lalu. Manakala pasukan ragbi pula menempa kejayaan apabila menjuarai Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan Bawah 21 Tahun dan menjadi johan dalam Kejohanan HARP Men’s U19 Championship 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, pemberian cuti itu juga merupakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada pihak terlibat dan rakyat yang memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada setiap pasukan bertanding mewakili Negeri Johor.

Keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa itu selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369].

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor