TOURISM JOHOR SEDIA PELBAGAI BANTUAN KEPADA PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menerusi Tourism Johor menyediakan pelbagai bantuan kepada pemain industri pelancongan negeri ini.

 

Pemain industri dimaksudkan meliputi badan bukan kerajaan atau pertubuhan seperti persatuan agensi pelancongan, persatuan pemandu pelancong, persatuan homestay dan sebagainya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, antara bantuan diberikan adalah, pertama, membantu memberikan khidmat nasihat, latihan dan sokongan.

 

“Kedua, membantu membuat penyelarasan dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta. Ketiga, membantu mempromosikan di media sosial, media cetak dan media elektronik. Dan keempat, memberi bantuan kewangan.

 

“Namun begitu, badan-badan bukan kerajaan atau pertubuhan ini mestilah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dan mempunyai dokumen lengkap sebagai sebuah badan atau pertubuhan yang sah di sisi undang-undang,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tangkak, Ee Chin Li mengenai bantuan disediakan bagi pertubuhan-pertubuhan yang sedang mengusahakan sektor pelancongan.

 

Raven Kumar berkata, pemain industri juga hendaklah memastikan program yang ingin dilaksanakan memberikan impak positif terhadap sektor pelancongan negeri.

 

“Dan (program) disokong dengan maklumat seperti jumlah atau unjuran kedatangan pelancong atau pendapatan kepada kerajaan negeri,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor