KERAJAAN JOHOR KOMITED PERKASA TULISAN JAWI

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor kekal komited untuk terus memperluas serta memperkasakan penggunaan tulisan jawi sebagai satu warisan tinggalan bangsa yang perlu dipelihara supaya ia akan terus dapat disemarakkan oleh generasi akan datang.
Sebagai langkah konkrit, Kerajaan Johor akan mengisytiharkan minggu keempat setiap bulan sebagai Minggu Jawi Johor dengan pra-pelancarannya dijadual berlangsung pada minggu hadapan yang akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. Inisiatif ini secara tidak langsung menjadi kesinambungan kepada komitmen Kerajaan Negeri pada Belanjawan Johor 2025 untuk mengangkat tulisan jawi ke tahap lebih tinggi.
Sejak 2020, Kerajaan Johor telah menubuhkan Jawatankuasa Jawi dan ia kini diperkukuh dengan penglibatan Yayasan Warisan Johor (YWJ) bagi melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi antaranya penambahbaikan Galeri Jawi Pak Matlob di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah, Program Pentauliahan Munsyi Dewan (Jawi) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Seminar Jawi Peringkat Negeri.
Turut diperkenalkan ialah Program Jom Baca Jawi, selain cadangan penganjuran pertandingan Sahibba Jawi dalam pelbagai peringkat umur sebagai pendekatan kreatif bagi menyemai minat generasi muda dalam tulisan berkenaan. Sementara itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pula diseru agar menganjurkan bengkel jawi dengan melibatkan jabatan-jabatan kerajaan dan masyarakat umum secara menyeluruh.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor berkata demikian ketika menjawab mengenai usaha Kerajaan Johor memperkasa tulisan jawi pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#WTN
#Jawi
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor