KERAJAAN JOHOR, PAJ SERTA PBT JALIN KERJASAMA PERKASA BMJ


Kerajaan Negeri komited dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas percuma. | Foto Ihsan PAJ.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor, Perbadanan Awam Negeri Johor (PAJ) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jalin kerjasama memperkasa perkhidmatan bas percuma menerusi Majlis Menandatangni Dokumen Perjanjian Bas Muafakat Johor (BMJ) di Renaissance Hotel, Johor Bahru, pada Selasa.

 

Menerusi perkongsian di laman rasmi Facebook PAJ, kerjasama itu bagi menjadikan mod pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat di negeri ini, selain mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

 

“Majlis ini diadakan bertujuan untuk merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri Johor untuk memperkasakan perkhidmatan BMJ, dimana perjanjian berbentuk kontrak yang ditandatangani oleh semua PBT di Negeri Johor yang terlibat.

 

“Kerjasama ini merupakan bukti kebersamaan dalam menjadikan pengangkutan awam sebagai mod utama pilihan masyarakat dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persedirian,” jelas kenyataan itu.

 

Turut hadir ke Majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, sekali gus merasmikan majlis berkenaan.

 

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Dato’ Haji Abd. Kadir; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dato’ Mohd Noorazam Osman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Dato’ Mohd Haffiz Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Abdul Malik Ismail.

 

Jelas kenyataan sama, usaha ini juga selari dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas percuma.

 

“Usaha ini akan memberi manfaat kepada rakyat dengan dapat meringankan kos bebanan hidup selain mewujudkan perkhidmatan di kawasan yang kurang mendapat liputan rangkaian pengangkutan awam,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor