KERAJAAN NEGERI KOMITED LINDUNGI KANAK-KANAK


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail mempengerusikan Program Latihan Pasukan Sokongan Kanak-Kanak.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri mengadakan Program Latihan Pasukan Sokongan Kanak-Kanak sebagai inisiatif bagi memberi pendedahan mengenai Hak dan Perlindungan Kanak-Kanak, Akta Berkaitan Kanak-kanak, Psikologi berkaitan Kanak-kanak serta memahami kanak-kanak generasi masa kini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata seramai 38 peserta yang terdiri daripada ketua kampung, penghulu, guru pengusaha pusat jagaan taska dari Daerah Johor Bahru dan Pontian terlibat dalam program berkenaan.

 

“Pada hari pertama bagi siri kelima ini, dua sesi telah dijalankan iaitu Modul Perundangan dan Advokasi berkaitan kanak-kanak serta Modul Perkembangan kanak-kanak.

“Perbincangan di dalam sesi yang dijalankan ini adalah bersifat dua hala menjadikan para peserta lebih memahami akan sifat dan psikologi kanak-kanak serta seterusnya dapat mempelajari cara untuk mendekati kanak-kanak dan menangani isu berkaitan kanak-kanak di sekeliling mereka,” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Khairin-Nisa berkata, program ini juga bertujuan memberi latihan kepada individu atau sukarelawan yang bekerja dengan kanak-kanak untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan komited dalam membantu memberi serta menguruskan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan.

 

Katanya, ia seterusnya secara tidak langsung dapat meningkatkan tanggungjawab komuniti dalam memastikan persekitaran yang selamat dan kondusif kepada kanak-kanak.

 

“Turut terlibat bersama Pasukan Sokongan Kanak-kanak ini adalah Pembantu Pelindung; Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak; Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak; Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat; Pengasuh di Taman Asuhan kanak-Kanak (TASKA); Pengendali Pusat Jagaan serta pemimpin masyarakat setempat.

 

“Saya berharap dengan wujudnya program ini, Kerajaan Negeri dan rakyat Johor dapat bersama-sama dalam menjaga kebajikan serta keselamatan kanak-kanak dan pada masa yang sama dapat memberikan kanak-kanak di Negeri Johor ruang yang kondusif untuk mereka membesar kerana mereka adalah masa depan negara.”

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor