BIOCON RANCANG TAMBAH PELABURAN, JADI PENGELUAR INSULIN TERBESAR DUNIA


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, perancangan berkenaan jika direalisasikan menjadikan fasiliti mereka sebagai pengeluar insulin terbesar di dunia. | Foto ihsan FB Lee Ting Han

 

ISKANDAR PUTERI — Syarikat biofarmaseutikal terkemuka di Asia dari India, Biocon merancang menambah pelaburan di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, perancangan berkenaan jika direalisasikan menjadikan fasiliti mereka sebagai pengeluar insulin terbesar di dunia.

 

“Jumlah peluang pekerjaan berkualiti yang bakal ditawarkan kepada Bangsa Johor juga akan melipat ganda,” katanya di laman Facebook rasminya pada Selasa.

 

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar mengadakan perbincangan bersama pihak Biocon.

 

Ting Han berkata, Biocon menubuhkan kemudahan pembuatan insulin terbesar di Asia dengan pelaburan melebihi RM1 bilion di negeri ini, pada tahun 2010.

 

“Syarikat ini menawarkan hampir 900 peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran spesifik dan berteknologi tinggi,” katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited membantu dan menyediakan infrastruktur terbaik bagi membolehkan syarikat gergasi seperti Biocon terus berkembang maju selain menarik minat lebih banyak pelaburan ke Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor