KERAJAAN JOHOR PANDANG SERIUS ADUAN BERKAITAN PENEMPATAN ROHINGYA


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor bersama agensi berkaitan isu penempatan etnik rohingya, pagi tadi. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor memandang serius laporan dan aduan berkaitan kacau ganggu melibatkan penempatan etnik Rohingya di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, beliau akan memantau secara agresif untuk setiap isu terbabit bersama agensi berkaitan.

 

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat dan perbincangan berkaitan isu penempatan etnik rohingya di Kulai bersama Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohd Fahmi Salam.

 

Turut terlibat dalam sesi itu adalah wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (Johor) dan Pejabat Kesihatan Kulai.

 

Mohd Jafni berkata, mesyuarat itu bagi membincangkan isu penempatan etnik terbabit di Kulai seperti yang telah tular di media sosial pada minggu lalu.

 

“Pihak polis telah melakukan tangkapan terhadap individu etnik Rohingya yang viral minggu lepas untuk siasatan.

 

“Pihak MPKu dan agensi berkaitan telah menerima banyak laporan dan aduan kacau ganggu yang dibuat oleh etnik Rohingya. Tindakkan telah dilaksanakan terhadap setiap aduan yang dilaporkan,” katanya.

 

Terdahulu, tular menerusi platform TikTok memaparkan video seorang warga Rohingya telah bertindak biadap sebagai reaksi kepada teguran penduduk yang tidak berpuas hati dengan kacau ganggu di penempatan etnik itu.

 

Susulan daripada kejadian, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai penahanan lelaki berusia 23 tahun terbabit sekitar jam 11.30 pagi pada 27 Mei lalu.

 

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor