KAMPUNG ORANG ASLI SRI MAHKOTA BERPOTENSI JADI KAMPUNG CONTOH


Hubungan akrab antara pemimpin kerajaan dan masyarakat Orang Asli di Johor sememangnya sudah lama terjalin lebih-lebih lagi melibatkan Institusi Diraja Johor dan para pemimpin Kerajaan Negeri. | Foto MDJ Saufi Razale

 

Oleh Imran Razib

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor berhasrat untuk mengangkat Kampung Orang Asli Sri Mahkota sebagai kampung contoh.

 

Pengarahnya, Faisal Long berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pelbagai usaha perlu dipergiatkan dengan penglibatan masyarakat Orang Asli di perkampungan itu.

 

“Kita akan angkat kampung ini menjadi kampung contoh. Cuma usaha perlu digiatkan lagi daripada masyarakat bersama organisasi yang ada seperti RELA untuk kita bersama membangunkan kampung ini.

 

“Kalau ikutkan kelengkapan, semua ada. Dengan surau, gelanggang futsal, RELA, sekolah dan TADIKA. Dengan kampung tersusun ini, kita boleh jadikan sebagai satu contoh kepada kampung-kampung (Orang Asli) lain,” katanya kepada Media Digital Johor ketika ditemui dalam lawatan muhibah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip ke Kampung Orang Asli Sri Mahkota, dekat Pontian, semalam.

 

Faisal merakamkan penghargaan kepada EXCO Kerajaan Johor atas kunjungan ke perkampungan itu yang terletak berhampiran dengan bandar Pontian dan majoriti masyarakatnya beragama Islam.

 

“Lawatan YB EXCO (Kerajaan Johor) sangat memberi satu semangat kepada masyarakat Orang Asli di sini. Ini termasuklah memperlihatkan sokongan kerajaan negeri kepada masyarakat setempat terutama Batin,” katanya.

 

Sementara itu, Penghulu Kampung Orang Asli Sri Mahkota, Tok Osman Abu Bakar berterima kasih atas kunjungan EXCO Kerajaan Johor yang turut memberikan pandangan bagi memodenkan perkampungan berkenaan pada masa hadapan.

 

Ujarnya, penghargaan sama juga diberikan kepada pihak JAKOA dan wakil rakyat kawasan atas penyediaan infrastruktur serta prasarana untuk kegunaan masyarakat setempat.

 

“Saya bangga sebagai Orang Asli dalam Malaysia ini, di mana Kerajaan amat prihatin kepada masyarakat Orang Asli. Saya dapat melihat kemajuan masyarakat Orang Asli di sini,” katanya.

 

Selain itu, beliau memberitahu akan membuat permohonan kepada pihak JAKOA untuk menyediakan perumahan generasi kedua berikutan pertambahan penduduk di kampung itu.

 

Tok Osman turut akui sumbangan pihak Kerajaan dari sudut pendidikan anak-anak Orang Asli sehingga ramai daripada kalangan mereka yang sudah mengecap kejayaan.

 

“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan yang banyak membantu, memberi perubahan kepada masyarakat Orang Asli. Daripada dahulu, tiada kejayaan. Tapi sekarang kita sudah lihat kejayaan demi kejayaan yang diperoleh.

 

“Dengan pendidikan boleh mengubah masyarakat Orang Asli. Bantuan daripada kerajaan setakat ini, syukur Alhamdulillah. JAKOA menyediakan pengangkutan, bayaran yuran serta kelengkapan persekolahan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor