KERAJAAN JOHOR SAMBUT BAIK PENGUMUMAN MENTERI DALAM NEGERI


Kerajaan negeri sentiasa bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelancaran operasi keluar masuk sempadan negara | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyambut baik pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung pembukaan 20 laluan keluar dan masuk menerusi sistem e-gate kepada warga Singapura.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebelum ini, sistem tersebut terhad kepada pemegang pasport rakyat tempatan sahaja.

 

Menurut beliau, selain itu, cadangan penubuhan agensi tunggal kawalan sempadan (SBA) yang akan mengawal pintu masuk negara termasuk pelabuhan, diyakini dapat meningkatkan kecekapan pengurusan, kawalan dan pemeriksaan keluar dan masuk.

 

“Keperluan untuk menaiktaraf laluan pejalan kaki kepada berbumbung dibincangkan agar pengembara yang memilih untuk berjalan kaki lebih selesa dan terlindung daripada hujan atau panas terik.

 

“Laluan pejalan kaki yang selesa berkemungkinan menggalakkan lebih ramai pengembara menggunakkanya, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan kenderaan yang sekian lama berlaku di Tambak Johor,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz turut memaklumkan terdapat keperluan untuk menambah laluan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) bagi mengurangkan kesesakan motosikal.

 

“Ia dilihat mampu menambahbaik situasi trafik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KIK Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB),” katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelancaran operasi keluar masuk sempadan negara.

 

“Ini demi menjamin kesejahteraan rakyat tempatan dan pengembara serta meningkatkan imej Malaysia di mata dunia,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor