TIGA PUSAT JAGAAN WARGA EMAS TERIMA KUNJUNGAN MENTERI BESAR JOHOR


Menteri Besar Johor. Datuk Onn Hafiz Ghazi menandatangani plak Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 dan Perasmian Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri meluluskan bantuan pembangunan masing-masing berjumlah RM10,000 kepada tiga pusat jagaan warga emas.

 

Tiga pusat jagaan tersebut adalah Persatuan Kebajikan Warga Tua Pleasure, Persatuan Kebajikan Orang Tua Xin Shi dan Pusat Kebajikan Warga Istimewa Kempas yang menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama isterinya sempena perayaan Tahun Baru Cina.

 

“Syukur Alhamdulillah, saya dan isteri berpeluang menziarahi dan menyampaikan sedikit bantuan kepada penghuni warga emas di bawah jagaan Persatuan Kebajikan Warga Tua Pleasure, Persatuan Kebajikan Orang Tua Xin Shi dan Pusat Kebajikan Warga Istimewa Kempas.

 

“Saya turut meluluskan bantuan pembangunan RM10,000 kepada setiap satu pusat jagaan ini. Sebelum ini peruntukan sebanyak RM49,000 juga telah disalurkan kepada Pusat Kebajikan Warga Istimewa Kempas bagi membaikpulih bumbung yang rosak akibat ribut,” kongsinya dalam Facebook rasmi beliau.

 

Selain itu, Onn Hafiz turut mengingatkan supaya cakna serta menghulurkan pertolongan kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan serta berharap perayaan Tahun Baru Cina kali ini, membawa kepada kejayaan kepada rakyat Johor.

 

“Dalam kegembiraan meraikan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga dan sahabat handai, saya sering mengingatkan kepada diri sendiri serta anggota pentadbiran kerajaan negeri agar sentiasa peka dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

 

“Semoga Tahun Baru Cina ini membawa lebih banyak kejayaan, keamanan dan kemakmuran kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor