KERAJAAN JOHOR SASAR PUNGUTAN HASIL RM1,734.18 JUTA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membentangkan Belanjawan Johor 2023 | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri mensasarkan pungutan hasil sebanyak RM1,734.18 juta pada tahun hadapan, peningkatan RM62.6 juta atau 3.7 peratus berbanding tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, berdasarkan anggaran tersebut, sebanyak RM836.48 juta disumbangkan melalui cukai langsung, manakala RM24.53 juta menerusi cukai tidak langsung.

Menurut beliau, 90 peratus hasil cukai yang dikutip adalah bersumberkan cukai tanah.

“Selain itu, pendapatan hasil bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga memainkan peranan penting dalam pembangunan Negeri Johor.

“Secara keseluruhannya pada tahun 2023, anggaran hasil yang dijangka dikutip oleh semua 16 PBT adalah sebanyak RM1,697.09 juta.

“Pendapatan ini akan menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,693 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, hari ini.

Onn Hafiz berkata, menyedari situasi perbelanjaan negeri semakin meningkat saban tahun, terdapat keperluan untuk kerajaan negeri meneroka kaedah baru bagi meningkatkan hasil.

“Langkah berstruktur dan mampan untuk menggembeling segala sumber yang ada agar hasil kerajaan negeri dapat ditingkatkan, perlu dilakukan.

“Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan negeri memerlukan sokongan, kerjasama dan komitmen semua pihak untuk bersama menyatukan segala sumber dan usaha demi kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan lima langkah strategik yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan hasil.

“Pertama, melaksanakan pendigitalan sistem pentadbiran kerajaan bagi urusan pembayaran secara atas talian yang dikenali sebagai JOHORPAY. Kedua, memperluaskan pembayaran atas talian bagi bayaran bukan cukai tanah, bayaran lesen halal, bayaran cukai harta di bawah PBT serta pelbagai agensi kerajaan yang lain.

“Ketiga, melaksanakan kajian bagi cadangan pelupusan tanah secara tender terbuka bagi tanah-tanah kerajaan yang berpotensi dan mempunyai nilai komersil yang memberi impak kepada kawasan sekitar sekiranya tanah tersebut dibangunkan.

“Keempat, melaksanakan kajian berkenaan pajakan tanah rizab bagi memperkasa hasil negeri serta membantu menyelesaikan isu penyelenggaraan rizab. Kelima, meneroka hasil baru bagi kerajaan negeri terhadap pengenaan cukai karbon yang selaras dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor