MENTERI BESAR JOHOR BENTANG BELANJAWAN SULUNG


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membentangkan Belanjawan Johor 2023 | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2023, belanjawan sulungnya sebagai Menteri Besar Johor.

Menurut beliau, belanjawan negeri bagi tahun hadapan yang berkesinambungan dengan Agenda Maju Johor itu ditunjangi oleh enam teras selain didukung strategi dan disokong dengan inisiatif.

Enam teras tersebut adalah tadbir urus kerajaan; pembangunan ekonomi; jaringan keselamatan sosial; kemudahan dan keperluan asas; keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar serta orang muda Johor.

“Belanjawan Johor 2023 ini juga merupakan belanjawan pertama saya sebagai Menteri Besar Johor.

“Belanjawan ini bukan sahaja berkesinambungan kepada Agenda Maju Johor yang digagaskan, tetapi yang lebih penting lagi, ia akan memanifestasikan bagaimana agenda ini akan difokus dan dilaksanakan untuk tahun 2023 nanti,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri memilih tema Belanjawan Johor 2023 iaitu ‘Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat” sebagai suatu kesinambungan perjuangan memartabatkan pertumbuhan ekonomi Johor yang gemilang sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.

“Sebagaimana tema yang dipilih dan didukung, Belanjawan Johor 2023 ini dirangka dengan 3.8 juta rakyat Johor sentiasa berada di hati dan benak fikiran kerajaan negeri.

“Suara hati, jiwa dan minda mereka, kita selami bersama keadaan dan situasi semasa, maka lahirlah Belanjawan Johor 2023 ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor