KERAJAAN JOHOR SERIUS TANGANI ISU PENDERAAN KANAK-KANAK


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail meninjau taska yang disyaki berlaku kejadian dera di Johor Jaya, Johor Bahru, baru-baru ini | Foto Ihsan, FB Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor tegas memastikan tiada premis jagaan kanak-kanak beroperasi tanpa lesen di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata pihaknya telah mengarahkan penutupan sebuah taska susulan isu penderaan kanak-kanak di Johor Jaya, Johor Bahru, baru-baru ini.

 

“Berikutan itu, saya mendapat makluman berkenaan dengan satu isu penderaan kanak-kanak yang berlaku di salah sebuah taska di Johor Jaya, saya bersama JKM Negeri Johor terus ke taska tersebut bagi mendapatkan maklumat yang lanjut serta meninjau keadaan di taska tersebut.

 

“Saya telah mengarahkan taska itu ditutup serta merta sementara pihak polis menjalankan siasatan ke atas si pelaku,” kata beliau di laman Facebook rasminya.

 

Jelas Khairin, pengasuh yang disyaki melakukan penderaan itu juga telah direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

 

“Saya berterima kasih kepada pihak PDRM dan JKM yang menjalankan tindakan pantas kepada si pelaku.

 

“Sekali lagi saya ingatkan kepada ibu bapa supaya memeriksa status perlesenan taska terlebih dahulu dengan pihak JKM bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan mana-mana individu yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Kanak-kanak 2001.

 

Sebelum ini, tindakan tegas yang sama turut dilakukan terhadap seorang pengasuh selepas mendera seorang bayi dalam satu kejadian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Mutiara Rini, Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor