12 LOKASI HOTSPOT KAWASAN PUNCA SAMPAH DI SUNGAI SKUDAI


Sebanyak 12 kawasan ‘hotspot’ dikenalpasti sebagai lokasi punca sampah yang masih berlaku hingga menyebabkan terjadinya pencemaran sampah di Sungai Skudai. | FOTO MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU— Sebanyak 12 kawasan ‘hotspot’ dikenalpasti sebagai lokasi punca sampah yang masih berlaku hingga menyebabkan terjadinya pencemaran sampah di Sungai Skudai.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar, berkata antara kawasan yang dikenal pasti adalah di Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu dan Kampung Bakar Batu.

 

Katanya, selain itu turut menjadi kawasan ‘punca sampah’ ialah Log Boom Pusat Informasi; PPRT Melana Indah (Sungai Melana); Taman Damai Jaya (Sungai Melana); Kampung Laut; Kampung Pertanian; Kampung Separa dan Kampung Melayu Sengkang.

 

“Bila kita tubuhkan Jawatankuasa ‘Taskforce’ kita dapat mengenal pasti kawasan panasm yang menjadi lokasi punca sampah. Justeru, kita ambil tindakan pembersihan bersama berberapa pihak seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor (JPS), Southern Volunteers (SV), Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran berkaitan.

 

“Bagaimana pun, bila kita dapat data kutipan sampah (Sungai Skudai) masih tidak berkurangan walaupun sudah masuk tahun ketiga ini (pembersihan dilakukan), kita cuba mengenal pasti kawasan-kawasan punca sampah.

 

“Jadi, ini salah satu tempat (Kampung Pasir) yang dilihat menjadi lokasi punca sampah sebelum ia mengalir ke sungai,” katanya selepas menghadiri Program Johor Bersih Sungai Skudai di Rumah Pam Kampung Pasir di sini, hari ini.

 

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rahmat Md Noh dan Ketua Kampung Pasir Mukim Pulai, Zaini Sinong.

 

Turut menyertai program berkenaan ialah sukarelawan dari kakitangan JPS Johor dan SV Johor Bahru.

 

K.Raven Kumar, berkata hasil laporan menunjukkan lokasi terbabit sahaja menjadi penyumbang kepada kira-kira tiga tan sampah yang berjaya dikutip dalam tempoh seminggu.

 

“Selain daripada tiga tan sampah ini, kami percaya terdapat sekurang-kurangnya 10 tan sampah lagi yang akan dikutip kerana kerja pembersihan ini masih dilaksanakan.

 

“Ini kerana, jumlah sampah ini akan dilihat berkurangan pada minggu tersebut sahaja iaitu ketika kerja pembersihan dilakukan tetapi pada minggu berikutnya akan tetap ada sampah yang dapat kita lihat dan temui”, katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor