KERAJAAN JOHOR SIAP SIAGA PASTIKAN ALIRAN TRAFIK LANCAR PADA AIDILFITRI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Saleh, berkata semua agensi yang berkaitan telah diarahkan untuk bersiap siaga pada waktu puncak sempena musim perayaan. | Foto oleh: Saufi MDJ

 

JOHOR BAHRU — Menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini, Kerajaan Negeri Johor sudah membuat persiapan yang rapi bagi memastikan aliran trafik di jalan raya dan pintu sempadan keluar masuk berjalan lancar.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Saleh, berkata semua agensi yang berkaitan telah diarahkan untuk bersiap siaga pada waktu puncak sempena musim perayaan.

 

“Kerajaan Negeri telah mengadakan mesyuarat koordinasi bersama dengan agensi yang terlibat. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan dua operasi iaitu Op Lancar dan Op Selamat.

 

“Op Lancar bertujuan mengawal kelancaran trafik manakala Op Selamat membuat rondaan bagi memastikan keselamatan di jalan raya dan harta benda awam sepanjang Aidilfitri ini,” katanya.

 

Mohamad Fazli berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memastikan aliran keluar masuk di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) lebih tersusun dan lancar.

 

“Semua kaunter Imigresen akan dibuka dengan jangkaan peningkatan sehingga 30 peratus pengembara masuk di pintu sempadan.

 

“Ini termasuk 56 kaunter keluar masuk bagi kereta dan 100 lorong untuk motosikal. Selain itu, 18 pintu masuk manual dan 18 pintu masuk automatik (e-gate) untuk penumpang bas turut beroperasi,” katanya.

 

Beliau berkata, dalam pada itu, lorong kecemasan akan dibuka bagi laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari kilometer (KM) 19 ke KM27 arah Senai ke Kulai melibatkan kedua-dua hala bagi melancarkan aliran trafik.

 

“Lorong kecemasan akan diaktifkan pada 20 dan 21 April serta 27 dan 28 April. Nasihat saya kepada pengguna lebuh raya, sila patuh kepada arahan PDRM, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan juga pihak PLUS kerana kesemua agensi tersebut telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

 

“Pembukaan lorong kecemasan ini dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak PLUS, manakala bagi Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), pihak konsensi sedang mengkaji untuk membuka lorong kecemasan pada hari perayaan, menjadikan dua lorong kepada tiga lorong di laluan tersebut,” katanya.

 

Sementara itu Fazli memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor turut mengeluarkan arahan untuk menghentikan semuakerja pembaikan dan penyelenggaraan bermula 18 hingga 27 April kecuali kes kecemasan dan keselamatan pengguna bagi melancarkan aliran trafik semasa musim perayaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor