UTHM – HPSF KERJASAMA PASTIKAN STOK DARAH MENCUKUPI


Kolej Kediaman Kampus Pagoh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (KKKP-UTHM) dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar mengadakan program kerjasama bagi memastikan stok bekalan darah mencukupi sepanjang bulan Ramadan. | Foto ehsan: UTHM

 

PAGOH — Kolej Kediaman Kampus Pagoh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (KKKP-UTHM) dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar mengadakan program kerjasama bagi memastikan stok bekalan darah mencukupi sepanjang bulan Ramadan.

 

Menurut Timbalan Pengetua 1 KKKP-UTHM, Ing Ts Dr Mohd Faisal Hashim, berkata inisiatif itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai jumlah penderma darah akan mengalami penurunan yang agak ketara pada bulan Ramadan.

 

“Walaupun menderma darah ketika berpuasa itu dibolehkan dari segi syarak, namun masih terdapat individu yang mengelak untuk berbuat demikian kerana khuatir ia boleh menjejaskan aktiviti harian.

 

“Pun begitu, stok bekalan darah juga perlu berada di paras optimum bagi memastikan ia sentiasa mencukupi apabila diperlukan terutamanya ketika berlaku keadaan luar jangka,” katanya.

 

Dr Faisal berkata, sehubungan itu menerusi program yang dijalankan pada awal bulan itu berjaya mendapat perhatian dan sokongan yang menggalakkan daripada penghuni KKKP-UTHM.

 

“Kira-kira 300 pelajar hadir lebih awal selepas berbuka bagi memastikan masing-masing dapat menderma darah. Bagaimanapun, hanya sebahagian yang dapat menderma kerana sasaran yang ditetapkan oleh pihak hospital telah tercapai dan kita berjaya mengumpul hampir 70 beg darah berbanding sasaran awal iaitu sekitar 50 beg darah,” katanya.

 

Beliau berkata, susulan kejayaan yang memberangsangkan ini mendorong warga KKKP-UTHM meletakkan sasaran untuk melaksanakan program sedemikian sebanyak dua kali pada bulan Ramadan ini.

 

“Ini bagi menunjukkan komitmen dan keprihatinan warga KKKP dan UTHM dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

 

“Program ini juga diharapkan dapat memupuk nilai positif dan sifat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa UTHM,” kata Dr. Faisal.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor