KERAJAAN JOHOR TELITI GARIS PANDUAN PEMBANGUNAN KAWASAN BUKIT
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri memberikan perhatian terhadap titah ingatan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung pembangunan kawasan berbukit atau tanah tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, satu bengkel melibatkan 16 PBT di negeri ini, bersama pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia) akan diadakan.
Menurutnya, bengkel itu bertujuan melihat kepada pengurusan di peringkat Agensi Pusat Setempat (OAC) di setiap PBT yang bertanggungjawab memberikan kelulusan sesebuah projek pembangunan.
“Titah (DYMM) Tuanku (Sultan) melihat kepada lereng bukit disebabkan, mungkin perubahan iklim dan cuasa yang melibatkan isu banjir di masa akan datang. Jadi isu-isu ini, di peringkat saya sebagai EXCO, kita akan lihat dan akan (adakan) bengkel.
“Di peringkat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), ada garis panduan. Mungkin garis panduan itu tidak dipraktikkan secara keseluruhan di peringkat PBT. Secara asasnya ada, tetapi melihat melihat projek di lereng bukit ini, mungkin apa dititahkan oleh Tuanku itu, kita hendak lihat dan perketatkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, DYMM Sultan Johor mengingatkan semua PBT agar memastikan setiap pembangunan yang hendak dibuat di kawasan berbukit atau tanah tinggi mesti mengekalkan bentuk muka bumi atau topografi asal tanah.
Baginda Tuanku Sultan bertitah sedemikian ketika Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 pada Khamis lalu.
Mohd Jafni berkata, terdapat juga keperluan untuk menyelaraskan melibatkan akta antara 16 PBT di negeri ini, memandangkan terdapat perbezaan taraf antara mereka dengan ada yang diklasifikasikan sebagai daerah, perbandaran dan bandar raya.
“Jadi apa yang kita buat sekarang, bila kita bengkelkan, kita hendak lihat prosedur operasi standard (SOP) yang sekarang mereka praktikkan di setiap PBT. Jadi kita (akan) rumuskan mana yang ada perbezaan dan kita selaraskan,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor