MBJB KOMITED PERTAHANKAN SENI BINA WARISAN JOHOR


Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Pertubuhan Arkitek Malaysia Cawangan Selatan (PAMSo) dan Persatuan Profesional Johor (DECCO+) tampil menganjurkan Johor Architectural Heritage Conference and Exhibition 2023 di Dewan Kenanga, Menara MBJB / Gambar Ihsan MBJB.

 

JOHOR BAHRU — Sejarah dan warisan adalah komponen ‘spiritual’ atau roh dalam identiti fizikal sesebuah bandar raya atau negeri dan ianya juga menjadi nadi kepada anggota masyarakat yang hidup di dalamnya.

Menyedari kepentingan itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Pertubuhan Arkitek Malaysia Cawangan Selatan (PAMSo) dan Persatuan Profesional Johor (DECCO+) tampil menganjurkan Johor Architectural Heritage Conference and Exhibition 2023 di Dewan Kenanga, Menara MBJB di sini, hari ini.

Bengkel terbabit bertujuan sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan matlamat bagi mengenal pasti, memulih, memelihara, mengekalkan dan melindungi warisan seni bina di negeri Johor khususnya di Johor Bahru.

Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman, berkata penganjuran bengkel terbabit adalah sebagai usaha berterusan MBJB dalam menjayakan pembangunan lestari khususnya di Johor Bahru.

Katanya, selain itu penganjuran ini untuk memberi pendedahan dan inspirasi kepada rakyat Johor terutama dalam kalangan generasi muda menerusi pegajaran daripada sejarah bangsa, pemeliharaan warisan dan hubungan harmoni sesama warga bandar Raya ini.

“Warisan seni bina atau fizikal yang kita ada inilah yang mengekalkan nama dan reputasi sesebuah bandar raya dan negeri kerana ia amat penting kepada identiti. Selain itu, ciri-ciri sejarah ini menambahkan lagi keindahan dan karekter kepada bandar raya ini, sekali gus menghidupkan suasana komuniti dan sejarahnya yang dimiliki bersama.

“Pada masa sama, konservasi sejarah dan warisan seni bina ini turut memberi pelbagai manfaat dan nilai tambah kepada ekonomi, alam sekitar dan pembangunan sosial di negeri Johor,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, hari ini.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato’ Dr Abdul Rahim Ramli; Ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato’ Mohd Halim Hasbullah dan Ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor, Prof Dr Kassim Thukiman.

Turut hadir ialah Pengerusi PAMSo, Ar Ahmad Farid Abd Ghaffar; Ketua Whip MBJB, Dato’ Mohamad Dol Mat, Setiausaha MBJB, Miswan Yunus dan Pengarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) Universiti Teknologi Malaysia, Ar Idr Ts Noraslinda Abdul Rahman.

Mohd Noorazam berkata, program yang dianjurkan itu juga penting dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang telah diaplikasikan di seluruh dunia yang turut menekankan kepentingan memelihara warisan budaya dan alam semulajadi.

“Dalam proses urbanisasi kadang kala memberi tekanan dan konflik kepada pemeliharaan aset warisan. Oleh itu, ia amat penting bagi mana-mana bandar raya untuk meletakkan khazanah warisan dan budaya sebagai aspek utama kepada renovasi dan penambahbaikan dalam pelan pembangunannya.

“Semoga usaha yang dilaksanakan hari ini, biar pun hanya selangkah namun diharapkan dapat memberi kesan baik kepada generasi muda yang akan mewarisi negeri Johor pada masa akan datang,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor