KERAJAAN JOHOR KOMITED MUDAH CARA PERNIAGAAN, PELABURAN


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor telah memperkenalkan dua inisiatif bagi memudahcarakan perniagaan dan pelaburan di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, inisiatif itu adalah Jawatankuasa Pelaburan Johor (JIC) dan ‘Johor Fast Lane’.

 

Menurutnya, JIC ditubuhkan bagi menyelaraskan segala kemasukan pelaburan yang masuk ke Negeri Johor.

 

“Kerajaan negeri juga akan lebih fokus dalam menjalankan promosi bagi menarik pelaburan dengan memberi penekanan kepada sektor-sektor berpotensi tinggi yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi Bangsa Johor.

 

“JIC juga dapat melaraskan polisi dan dasar-dasar kerajaan mengenai pelaburan supaya diterima pakai dan diambil tindakan sewajarnya selain pemantauan secara berkala industri-industri yang sedia ada,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Ting Han berkata, manakala inisiatif Johor Fast Lane pula telah singkatkan tempoh menunggu daripada 24 ke 12 bulan kepada bakal pelabur.

 

Ujarnya, di bawah Johor Fast Lane, lebih 17 agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi kelulusan teknikal kepada pelabur dengan segera.

 

“Kemudahan di kawasan perindustrian telah disediakan untuk pelabur termasuk elektrik dan air selain infrastruktur lain seperti sambungan jalan raya.

 

“Pelabur hanya memindahkan mesin mereka ke kilang-kilang dan boleh mula beroperasi dengan segera,” katanya..

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Perling, Liew Chin Tong mengenai langkah-langkah diambil kerajaan negeri bagi memudahcarakan perniagaan dan membina ekosistem rantaian bekalan tempatan untuk menerima pelaburan asing ke Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor