KERAJAAN NEGERI AKAN UMUM INSENTIF JS-SEZ, FCSFZ


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

Kerajaan Negeri dijangka mengumumkan beberapa insentif menarik bagi merancakkan aktiviti ekonomi di dalam kwasan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) pada pembentangan Belanjawan Johor 2025 akan datang.

 

Insentif yang bakal diumumkan itu akan melengkapi beberapa inisiatif sedia ada yang telah digariskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini terhadap perjanjian JS-SEZ yang akan ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura pada 9 Disember depan.

 

Kerajaan Johor juga turut memberi komitmen untuk bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan tidak akan membiarkan hanya sebelah pihak sahaja yang menggerakkan usaha bagi merangsang kegiatan ekonomi di kawasan JS-SEZ dan FCSFZ.

 

Komitmen tersebut dicerminkan menerusi Mesyuarat Perkara-Perkara Dasar bagi Rundingan Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II bagi memastikan gerak kerja berkaitan zon ekonomi khas itu berjalan lancar mengikut garis masa yang ditetapkan.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan lawatan ke Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) bagi melihat dan mempelajari pengoperasian industri kewangan selain akan turut mengadakan pertemuan dengan pelabur-pelabur berpotensi dalam usaha menarik pelaburan berimpak tinggi ke Johor dan seterusnya menjadi pemangkin dalam usaha menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor