KERAJAAN NEGERI HASRAT TUBUH JAWATANKUASA PENDIDIKAN TINGGI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh mempengerusikan Mesyuarat Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Negeri Johor pada Selasa. | Foto Ihsan FB Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor kini dalam perancangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Negeri Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, penubuhan jawatankuasa dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi itu bagi memperkasakan lagi sektor pendidikan tinggi di negeri ini.

 

“Adalah menjadi hasrat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin agar jawatankuasa ini diwujudkan bagi memperincikan kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Negeri dan KPT seterusnya meningkatkan taraf pembangunan pendidikan di negeri Johor.

 

“Pada masa yang sama, ia juga berperanan untuk menyampaikan hasrat dan keperluan Kerajaan Negeri berhubung isu pendidikan, khususnya,” katanya.

 

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Negeri Johor pada Selasa.

 

Turut terlibat dalam mesyuarat itu adalah Rektor UiTM Cawangan Johor, Prof. Madya Dr. Saunah Zainon; Dekan Pusat Pengajian Siswazah UTHM, Prof. Dr. Shahruddin Mahzan; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTM, Prof. Sr Dr. Hishamuddin Bin Mohd Ali serta Pengarah Bahagian Standard Swasta Jabatan Pendidikan Tinggi, Husaini Amir Azizan.

 

Norlizah berkata, selain itu, usaha mewujudkan jawatankuasa tersebut demi memastikan isu tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat disediakan untuk menampung keperluan bakat yang diperlukan industri menjelang tahun 2030.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor