KERAJAAN NEGERI IKAT KOMITMEN PEMAJU BINA RMMJ


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Rekabentuk (PDRC), semalam. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berjaya mengikat komitmen pemaju untuk membina 13,666 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dalam tempoh lima tahun.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, komitmen tersebut dizahirkan hasil 12 siri mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Rekabentuk (PDRC).

 

“Peranan PDRC adalah sebagai jawatankuasa pemudahcara yang menyediakan satu bentuk dokumentasi yang mempunyai ‘legal binding’ untuk memastikan pemaju membina setiap komponen RMMJ mereka,” katanya pada Rabu.

 

Terdahulu, beliau mempengerusi mesyuarat ‘taskforce’ PDRC kali ke-12 bersama 53 pemaju projek RMMJ di 10 Daerah yang melibatkan 14 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Johor.

 

Mohd Jafni berkata, semua pihak selain dirinya dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) giat berusaha membantu pemaju agar RMMJ untuk Rakyat Johor mampu dibina dan rakyat boleh memiliki kediaman sendiri.

 

Ujarnya, kesemua pihak lain itu termasuklah Pentadbiran Tanah Johor, PLANMalaysia Johor, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Kerajaan Tempatan, 16 PBT serta agensi dan jabatan berkaitan.

 

“Menjunjung Titah DYMM Tuanku Sultan Johor yang berkehendak RMMJ dibina dengan jumlah yang mencukupi dan berkualiti untuk rakyat Johor.

 

“Semoga Allah memudahkan amanah ini untuk Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mencapai sasaran RMMJ 21,000 unit dalam tempoh lima tahun,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor