JABATAN PERIKANAN JOHOR TERUS MELESTARI BIODIVERSITI PERIKANAN


Jabatan Perikanan Johor melalui Program Pembersihan Dasar Laut dan Pembasmian ‘Crown of Thorn’ (COT) memastikan kelestarian biodiversiti perikanan di negeri ini. | Sumber foto: Facebook Pejabat Perikanan Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Bersempena sambutan Hari Laut Sedunia, Jabatan Perikanan Johor baru-baru ini mengadakan Program Pembersihan Dasar Laut dan Pembasmian ‘Crown of Thorn’ (COT) di sekitar perairan Pulau Aur, Mersing.

 

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abd Wahab, memaklumkan matlamat program itu dilaksanakan adalah bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar serta pemuliharaan sumber dan biodiversiti perikanan di negeri ini.

 

“Kerja-kerja pembersihan dasar laut dijalankan bagi memastikan habitat laut sentiasa bebas daripada pencemaran fizikal dan ‘ghostnet’ yang dibimbangi memerangkap haiwan maritim seperti penyu atau apa sahaja hidupan akuatik sehingga menyebabkan kematian.

 

“Manakala, COT pula perlu dibasmi kerana ia boleh menyebabkann kemusnahan batu karang dengan kerana ia adalah parasit yang memakan karang tersebut,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Pejabat Perikanan Negeri Johor.

 

Zainudin berkata, program yang turut disertai komuniti pulau, penyelam Johor dan rakan media itu telah berjaya membasmi sebanyak 64 ekor COT di samping memusnahkan ‘ghostnet’ dan pelbagai jenis sampah fizikal.

 

“Program libat urus dan pemantauan yang dilaksanakan secara berterusan ini diharapkan dapat memberi kesedaran terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan untuk generasi akan datang.

 

“Usaha seumpama ini memerlukan komitmen daripada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, masyarakat setempat serta orang awam bagi memastikan kelestarian sumber perikanan ini akan dapat dipuliharan dengan sewajarnya. Ini kerana ussaha secara bersendirian sudah tidak mampu untuk menyelesaikan cabaran ini,” katanya.

 

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Negeri Johor sentiasa komited mengurus sumber perikanan, menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus tekad melindungi sumber perikanan di perairan Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor