RAJA PERMAISURI AGONG RASMI POLIKLINIK PRIMER SEJAHTERA


Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Poliklinik Primer Sejahtera (PoPs) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terletak di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) dekat Bandar Universiti Pagoh | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

MUAR — Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Poliklinik Primer Sejahtera (PoPs) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terletak di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) dekat Bandar Universiti Pagoh, di sini.

 

Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda disambut Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Presiden UIAM, Tan Sri Samsuddin Osman dan Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim.

 

Raja Permaisuri Agong yang juga Ketua Perlembagaan UIAM berkenan menandatangani plak dan melawat poliklinik berkenaan untuk melihat fasiliti ditawarkan seterusnya berangkat ke Majlis Perasmian PoPs serta Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Kuliyyah Bahasa dan Pengurusan di Pusat Konvensyen HPTP.

 

Dalam sembah ucapan menjunjung kasih, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, berkata PoPs yang dahulu dikenali sebagai Pusat Kesihatan Gunasama HPTP terletak dalam Kampus Pagoh, UIAM kini sudah dipindahkan di kawasan baharu di hab berkenaan dan sudah beroperasi sejak awal November tahun lalu.

 

“Penubuhan pusat kesihatan gunasama ini adalah hasil sumbangan dana oleh Yayasan Sime Darby, manakala geran tahunan untuk emolumen dan kos operasi daripada KPT serta Tabung Perkongsian Perubatan (TPP) iaitu daripada pelajar UIAM, UTM dan Politeknik Tun Syed Nasir.

 

“Keseluruhan dana bagi membangunkan PoPs Fasa 1 ini berjumlah RM1.8 juta yang merangkumi kerja pengubahsuaian, alat kelengkapan perubatan, sistem integrasi pengurusan pesakit, sewaan premis, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah ambulans,” katanya.

 

Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan ditawarkan PoPs kini hanya boleh digunakan oleh pelajar dan kakitangan UIAM sahaja sementera menunggu proses serta kelulusan daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

 

“ Insya Allah, dalam sedikit masa lagi selepas mendapat kelulusan CKAPS JKNJ, PoPs juga akan boleh digunakan oleh orang awam. Pastinya, ia dapat memberi manfaat rawatan dan khidmat nasihat kesihatan yang berkualiti kepada masyarakat umum sekali gus meningkatkan mutu kesihatan komuniti Pagoh,” katanya.

 

Buat masa ini, PoPs Fasa 1 bersifat sementara, sebelum perkhidmatan kesihatan lengkap dan kekal bagi warga HPTP disiapkan sepenuhnya menerusi pembangunan Fasa 2 kelak.

 

Pada majlis sama, Raja Permaisuri Agong berkenan menyaksikan penyerahan replika cek sebanyak RM1.8 juta daripada Yayasan Sime Darby dan Sime Darby Property kepada UIAM.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJoho