KERAJAAN NEGERI JOHOR SEDIAKAN FASILITI TERBAIK UNTUK TASKA


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa melawat pusat asuhan kanak-kanak di Muar. | Foto ihsan Facebook Khairin Nisa Ismail

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) menyediakan fasiliti yang terbaik buat kanak-kanak di Taska Jauhar Childcare Centre (JCC).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail, berkata fasiliti Taska JCC berkenaan yang menempatkan seramai 26 orang kanak-kanak itu dalam keadaan yang baik dari aspek keselamatan dan kebersihan.

 

“Alhamdulilah, saya melihat mereka (kanak-kanak) amat teruja dan bertenaga sewaktu melakukan aktiviti (pengajaran dan pembelajaran) bersama guru-guru mereka.

 

“Semoga kanak-kanak ini dapat membesar dengan sihat dan pintar di bawah jagaan Taska JCC dengan modul pembelajaran yang disediakan oleh YPKDT,” kata Khairin Nisa di Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, Khairin Nisa melawat pusat asuhan kanak-kanak di Muar bersama Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Noorfaezah Md Esa dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Muar, Md Taufik Md Zin.

 

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak empat Taska JCC YPKDT telah dibina antaranya di daerah Iskandar Puteri, Pontian, Batu Pahat dan yang terbaharu di daerah Muar.

 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak YPKDT dan guru-guru (di Taska JCC) yang menjaga serta mendidik kanak-kanak sewaktu di dalam jagaan mereka.

 

“Sementara itu, selain menjaga kebajikan kanak-kanak, Kerajaan Negeri turut cakna dengan kesihatan mental masyarakat di negeri ini dengan mewujudkan program Mind-X anjuran YPKDT yang menyediakan khidmat kaunseling secara percuma,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor