MASYARAKAT ORANG ASLI JOHOR TERKILAN DENGAN TINDAKAN JPOAJ


Masyarakat Orang Asli Negeri Johor melahirkan rasa kesal terhadap tindakan sebuah NGOyang berhimpun membantah cadangan menukar tanah rizab mereka kepada ‘Tanah Kesultanan’ bulan lalu. | Gambar Hiasan Arkib MDJ

 

ISKANDAR PUTERI — Masyarakat Orang Asli Negeri Johor melahirkan rasa kesal terhadap tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) yang berhimpun membantah cadangan menukar tanah rizab mereka kepada ‘Tanah Kesultanan’ bulan lalu.

 

Menerusi satu kenyataan secara bersama oleh Batin dan wakil masyarakat Orang Asli Negeri Johor menjelaskan, JPOAJ tidak mewakili keseluruhan masyarakat Orang Asli di Johor yang kini hampir mencecah 20,000 orang.

 

“Apa yang dilakukan oleh JPOAJ bukanlah budaya kami. Kami bimbang tindakan tersebut memberi gambaran negatif dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

 

“Kami mewakili seluruh penduduk Orang Asli di Negeri Johor memohon ampun dan maaf kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di atas apa yang telah terjadi tempoh hari,” jelasnya.

 

Dalam kenyataan sama, Batin dan wakil masyarakat Orang Asli Negeri Johor juga turut memaklumkan hasrat menghadap DYMM Sultan Johor bagi menyatakan kekesalan mereka dengan kekeliruan dan kesalahfahaman berhubung isu berkenaan sebelum ini.

 

“Kami ingin menunjukkan sokongan kami kepada Baginda Tuanku Sultan yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di Johor selama ini.

 

“Kami juga akan sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan masyarakat Orang Asli dari semua sudut termasuklah pendidikan, sosial ekonomi dan pembangunan,” maklum kenyataan itu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor