KERAJAAN NEGERI JOHOR TUNAI IMPIAN RAKYAT MILIKI RUMAH SENDIRI


Mohd Firdaus Aman, 39, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas bantuan yang diberikan khususnya membantu golongan kurang berkemampuan untuk mempunyai rumah sendiri pada kadar harga yang amat berpatutan. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU –– Impian memiliki kediaman sendiri yang selesa akhirnya menjadi realiti apabila pembeli Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Pangsapuri Senibong Indah, dekat Tanjung Senibong hari ini menerima kunci rumah masing-masing.

 

Ia sekali gus menamatkan penantian kepada para pembeli untuk memiliki kediaman sendiri dan seterusnya menjadi ‘mahligai indah’ untuk keluarga masing-masing.

 

Pembeli RMMJ Pangsapuri Senibong Indah, Victor Francis, 56, berkata beliau hanya perlu menunggu dalam tempoh sebulan sahaja sebelum permohonannya membeli RMMJ secara dalam talian akhirnya diluluskan.

 

“Sebelum ini saya menyewa sebuah bilik di bandaraya Johor Bahru selama hampir 20 tahun. Kemudian rakan saya cadangkan untuk cuba buat permohonan rumah RMMJ yang disediakan dan saya bersyukur kerana dalam tempoh sebulan sahaja, permohonan ini sudah diluluskan.

 

“Rumah pun cantik, luas dan selesa. Saya sangat gembira kerana jarak dengan tempat kerja di Singapura pun lebih kurang 12 minit. Harap-harap Kerajaan Negeri juga akan bantu orang lain yang memerlukan rumah pada harga mampu milik,” katanya.

 

Beliau ketika ditemui Media Digital Johor selepas Majlis Penyerahan Kunci RMMJ di Pangsapuri Senibong Indah, di sini, pada Ahad.

 

Sementara itu, Mohd Firdaus Aman, 39, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas bantuan yang diberikan khususnya membantu golongan kurang berkemampuan untuk mempunyai rumah sendiri pada kadar harga yang amat berpatutan.

 

“Alhamdulillah, pada harga RM150,000, rumah ini memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air. Sebelum ini saya dan isteri menyewa rumah di Desa Tebrau selama lima tahun iaitu sejak kami berumah tangga.

 

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas inisiatif ini yang membantu menyediakan rumah mampu milik buat rakyat Johor,” tambahnya.

 

Seorang lagi pembeli, Ben Phuan Beng Sang, 35 berkata impian memiliki rumah sendiri pada usia muda kini sudah tercapai hasil inisiatif RMMJ yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Johor.

 

“Jadi, buat masa sekarang saya akan tinggal sendiri dahulu untuk membiasakan diri di kawasan ini. Selepas itu, baharulah saya akan bawa ibu bapa untuk tinggal di sini bersama-sama,” katanya.

 

#MediaDIgitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor