PUSAT TEMU DUGA SPA JOHOR BAHRU KEENAM DI UTC


Pengerusi SPA, Tan Sri Dato’ Seri Utama Zainal Rahim Seman merasmikan Pusat Temu Duga SPA Johor, pagi tadi. | Foto MDJ Imran Razib

 

JOHOR BAHRU — Pusat Temu Duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) Johor Bahru menjadi pusat keenam seumpamanya dibuka di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

 

Pengerusi SPA, Tan Sri Dato’ Seri Utama Zainal Rahim Seman berkata, Pusat Temu Duga SPA Johor yang sudah beroperasi sejak tahun 2010 di Menara Ansar sebelum ini, kini ditempatkan di bangunan UTC Johor di Galeria@Kotaraya.

 

“Ini merupakan satu langkah pembaharuan perkhidmatan awam bagi memudahkan mereka yang datang ke UTC, boleh menjenguk ke sini (pusat temu duga) untuk melihat adanya peluang-peluang pekerjaan.

 

“Pusat ini menjadi pusat yang sangat penting untuk temu duga dalam perkhidmatan awam. Mudah-mudahan rakyat Negeri Johor datanglah beramai-ramai untuk bertanya, mendapatkan maklumat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pusat Temu Duga SPA Johor Bahru di UTC Johor, di sini, pada Isnin.

 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), Dato’ A. Rahim Nin.

 

Zainal berkata, menjadi hasrat SPA untuk mencari tenaga kerja yang terbaik dari segi kelayakan, bakat dan sebagainya untuk masuk ke perkhidmatan awam.

 

Beliau turut memaklumkan dalam perancangan SPA, akan ada lagi pusat temu duga sedia ada yang berpindah ke bangunan UTC.

 

Terdahulu, dalam ucapannya, Zainal memberitahu pusat temu duga SPA Johor Bahru merupakan antara pusat temu duga yang menerima kunjungan calon paling ramai sepanjang tahun.

 

“Statistik SPA pada tahun 2020 sehingga Jun 2023 merekodkan sejumlah 472,947 permohonan daripada kalangan anak Johor.

 

“Daripada jumlah tersebut, seramai 32,478 telah dijemput menghadiri temu duga. Sebanyak 4,374 orang telah dilantik tetap dan 2,639 orang dilantik secara kontrak,” katanya.

 

Mengenai Pusat Temu Duga SPA Johor Bahru di UTC Johor, beliau berkata, pusat berkenaan melalui proses pengubahsuaian melibatkan pertambahan bilik temu duga dengan persekitaran lebih kondusif dan selesa sekali gus beroperasi secara penuh pada 20 Julai ini.

 

“Pusat temu duga ini juga dilengkapi aplikasi temu duga secara maya dan beberapa aplikasi lain yang dibangunkan sexara dalaman bagi memastikan sistem pengambilan lebih efisien dan efektif seiring reformasi SPA ke arah pendigitalan penuh.

 

“Ini menjadikan pusat temu duga SPA bakal diperkasakan sebagai sebuah pusat informasi kepada orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan SPA,” katanya.

 

Sebelum ini, lima pusat temu duga SPA telah ditempatkan di bangunan UTC iaitu Ipoh, Perak; Georgetown, Pulau Pinang; Kangar, Perlis serta Miri dan Kuching, Sarawak.

 

Secara keseluruhan, sehingga kini, terdapat 17 Pusat Temu Duga SPA di negara ini, termasuklah pusat temu duga di Johor Bahru.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor