KERAJAAN NEGERI KOMITED ATASI ISU SETINGGAN


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Syukor berkata Kerajaan Negeri menggunakan pendekatan berbeza mengikut kategori setinggan yang dikenal pasti termasuk jenis tanah yang digunakan untuk membina penempatan tidak sah itu.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Negeri komited untuk mengatasi masalah perumahan setinggan di seluruh negeri ini khususnya membabitkan penempatan di kawasan tebing sungai.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Syukor, berkata sehingga kini dianggarkan terdapat 10,000 rumah setinggan yang kini sudah dikenal pasti.

 

Katanya, bagi tujuan itu satu pasukan petugas khas sudah diwujudkan sejak tahun lalu dengan daerah Johor Bahru mempunyai isu perumahan setinggan paling tinggi di negeri ini.

 

“Sebenarnya rumah setinggan ini ada pelbagai status iaitu ada yang didirikan di atas tanah Persekutuan, ada dibina di tanah Kerajaan Negeri dan ada juga di tanah milik pemaju.

 

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri lebih memberi tumpuan kepada setinggan di tepi sungai terutama yang melibatkan pencemaran air dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Transformasi Perkhidmatan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) di sini, semalam.

 

Mohd Jafni berkata, bagi tujuan itu Kerajaan Negeri menggunakan pendekatan berbeza mengikut kategori setinggan yang dikenal pasti termasuk jenis tanah yang digunakan untuk membina penempatan tidak sah itu.

 

Katanya, bagi warganegara Malaysia, Kerajaan Negeri akan cuba membantu menyediakan rumah sewa dan pada masa sama mencarikan pendapatan khas sebelum mereka diarahkan untuk berpindah daripada perumahan setinggan berkenaan.

 

“(Pendekatan ini) kerana ada yang tinggal dekat 40 hingga 50 tahun. Selain itu, isunya ia didirikan di tanah Persekutuan dan bila tanah Persekutuan, kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh ambil begitu sahaja. Kita kena berunding dengan Kerajaan Persekutuan, sama ada kita ‘barter trade’ melalui pengantian tanah dan sebagainya.

 

“Bagi penempatan setinggan yang melibatkan penghuni warga asing dan tiada dokumen, antara tindakan yang dilakukan termasuklah merobohkan penempatan tersebut,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor