MAHU BANJIR TERMENUNG SELESAI SEBELUM RAMADAN : MB


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melakukan tinjauan operasi pengepaman air banjir termenung di Batu Pahat | Sumber foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 61 pam air sedang beroperasi 24 jam bagi mempercepatkan proses penurunan air kawasan banjir termenung di daerah Batu Pahat.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat kawasan khususnya di Batu Pahat masih digenangi air akibat banjir termenung antaranya di Sri Medan, Parit Jelutong dan Parit Raja walaupun situasi bencana di negeri ini, sedang beransur pulih.

 

“Kerajaan Negeri tidak mahu isu banjir termenung ini berlanjutan bagi tempoh masa yang lama seperti sebelum-sebelum ini. Pihak kerajaaan mahu isu banjir termenung di daerah ini dapat diselesaikan sebelum Ramadan yang bakal tiba ini.

 

“Bagi mempercepatkan proses penurunan air, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil pendekatan untuk mengepam air di kawasan-kawasan tersebut.

 

“61 pam air berkapasiti 2, 5, 10 dan 20 cusec sedang beroperasi 24 jam dan 12 lagi pam akan ditambah,” kata beliau selepas melakukan tinjauan operasi pengepaman air banjir di Parit Jelutong, Pintu Air Sungai Senggarang dan Pintu Air Parit Asam Kumbang.

 

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri juga sedang mengusahakan alternatif lain termasuk kerja-kerja mendalamkan sungai-sungai utama di daerah Batu Pahat.

 

Di samping itu, Menteri Besar Johor turut memaklumkan Misi Pasca Banjir Southern Volunteers (SV) akan melaksanakan kerja-kerja pasca banjir di daerah Batu Pahat mulai esok hingga 22 Mac ini.

 

Misi selama empat hari itu melibatkan kekuatan daripada 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain daripada pertubuhan belia, NGO dan badan korporat dengan pembabitan 531 sukarelawan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor