KERAJAAN NEGERI KOMITED PELIHARA SUMBER PERIKANAN JOHOR


 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100,000 melalui Jabatan Perikanan Negeri Johor bagi Program Melabuh Peranti Pengumpulan Ikan atau Unjam di perairan Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip, mentakrifkan program tersebut sebagai usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara sumber perikanan di negeri ini.

 

“Pada majlis ini, kami membuat pelepasan tiga unjam yang menjadikan jumlah keseluruhan 140 unjam telah dilabuhkan di sekitar perairan Pontian dan Batu Pahat.

 

“Ia (pelepasan unjam) merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memelihara dan meningkatkan sumber bagi memastikan keterjaminan makanan, peningkatan ekonomi nelayan serta menjadi pemangkin kepada aktiviti perikanan rekreasi dan eko-pelancongan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Program Libat Urus Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor bersama Komuniti Perikanan Daerah Pontian di Ayer Baloi, Pontian baru-baru ini.

 

Sementara itu, Zahari memberitahu, usaha yang sama juga dapat dicapai menerusi perlesenan yang bersasar dan penguatkuasaan yang komprehensif dilihat mampu menjamin kemampanan pengeluaran ikan pada masa akan datang.

 

“Tumpuan harus diberikan kepada pengeluaran ikan yang mampan melalui pelesenan yang bersasar dan penguatkuasaan yang komprehensif.

 

“Dengan cara ini, komuniti perikanan akan mendapat hasil yang berpanjangan dan menggunakan sumber laut mereka dengan lebih lestari.

 

Pada majlis sama, beliau turut menyerahan lesen sampan khas kepada 80 orang nelayan kategori A yang melibatkan 17 pangkalan nelayan di Daerah Pontian.

 

“Menerusi lesen ini, nelayan-nelayan di sini dapat meningkatkan produktiviti mereka dan pada masa sama ia berkesan menguruskan sumber perikanan yang ada di perairan kita.

 

“Kita juga menyerahkan Kit Keselamatan Nelayan kepada 23 Ketua Jaringan Perikanan (KJP) di Daerah Pontian sebagai menghargai jasa dan sumbangan KJP yang merupakan antara mata dan telinga jabatan di lapangan ini.

 

“Kita semua mesti bergerak pantas dan bersama-sama ke arah keterjaminan makanan seperti yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan juga Dasar Agromakanan Negeri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor