PENYOKONG JUGA PERLU BALAS JASA TMJ


Penyokong tegar JDT, Juan Budiman berkata, penyokong Southern Tigers perlu membalas jasa Tunku Ismail yang telah banyak berkorban demi melihat kelab milik baginda terus berada di dalam kelas yang tersendiri. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

ISKANDAR PUTERI — Perubahan secara total yang dilakukan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim terhadap kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memberi nafas baharu serta mengecapi pelbagai kejayaan sejak 2014.

Namun, para penyokong JDT tidak boleh berasa selesa dan disaran untuk terus memainkan peranan membantu kelab serta menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh pemilik kelab, Tunku Ismail.

Penyokong tegar JDT, Juan Budiman berkata, penyokong Southern Tigers perlu membalas jasa Tunku Ismail yang telah banyak berkorban demi melihat kelab milik baginda terus berada di dalam kelas yang tersendiri.

“Pengurusan kelab khususnya di bawah kepimpinan baginda sudah membuat segala yang terbaik untuk pastikan kejayaan dapat dinikmati. Jadi, penyokong perlu menzahirkan sokongan mereka dengan datang sendiri ke stadium sebagai tanda terima kasih, sayang dan cinta kita kepada JDT.

“Apabila sokongan penuh yang kita berikan kepada pasukan, ia secara tidak langsung membawa aura dan reaksi positif kepada para pemain sekali gus membawa keputusan yang membanggakan kepada kita semua,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

Tambah Juan, mentaliti juara yang diterapkan oleh Tunku Ismail kepada JDT membawa isyarat bahawa Harimau Selatan tidak pernah berasa selesa meskipun sentiasa menguasai saingan Liga Malaysia membabitkan Liga Super, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Setiap tahun pasti ada pembaharuan baik dari segi teknikal, pengurusan dan perniagaan. Ini memberi isyarat jelas bahawa baginda menanamkan motivasi dan mentaliti juara terhadap pasukan untuk muncul juara dan terus mendominasi bola sepak negara.

“Penyokong juga perlu begitu. Kita tidak boleh berasa selesa tetapi sebaliknya perlu buang sikap ‘glory hunter’. Kita perlu terima hakikat bahawa satu hari nanti kejayaan tidak kekal selama-lamanya dan itu adalah sebagai ujian terhadap kesetiaan penyokong kepada kelab,” tambahnya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor