KERAJAAN NEGERI MENJELASKAN SEBAB KESESAKAN CIQ DIBERIKAN PENEKANAN
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menjelaskan dua sebab penekanan diberikan kepada isu kesesakan trafik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang membelenggu berdekad lamanya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebab pertama, 300,000 rakyat Malaysia menggunakan laluan itu setiap hari yang terpaksa bangun dari tidur awal pagi dan pulang lewat ke rumah dari tempat kerja.
“Sudah pasti kualiti kehidupan mereka begitu terkesan disebabkan perkara ini. Bukan hanya lelah dan tidak cukup rehat, malah kesihatan juga pastinya terkesan akibat berhujan dan berpanas dalam menempuh perjalanan.
“(Selain itu) Setiap individu yang berulang-alik lazimnya mempunyai isteri atau suami dan sekurang-kurangnya dua orang anak. Ini bermakna secara tidak langsung, isu ini memberikan kesan (masa bersama keluarga terjejas) kepada 1.2 juta Bangsa Johor, iaitu 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Johor,” katanya pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, di sini, pada Khamis.
Onn Hafiz berkata, sebab kedua adalah kesan isu kesesakan kepada ekonomi negeri Johor dan Malaysia secara keseluruhannya dari segi pelaburan, perdagangan, pelancongan, pendidikan serta hartanah.
“Ia menjadi antara isu dan kekangan untuk pelabur dan pelancong masuk ke Johor. Namun, jika perkara ini dapat diselesaikan secara konsisten, Kerajaan Negeri percaya ia akan memberi keyakinan kepada para pelabur untuk melabur, juga keselesaan yang menggalakkan para pelancong untuk berkunjung ke Johor.
“Kedua-dua CIQ saya ibaratkan seperti jantung. Tanpa peranan yang dimainkan oleh jantung, seluruh sistem badan kita tidak akan dapat berfungsi dengan baik. Apabila satu atau lebih saluran jantung tersumbat, jantung tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik.
“Maka kita perlu mencari jenis rawatan yang perlu diberikan untuk memastikan jantung kita berfungsi dengan baik. Adakah kita perlu melaksanakan pembedahan ‘bypass’ atau pasangkan ‘stand’ atau bagi ubat pencair darah ataupun redha sahaja?,” katanya.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri tidak memilih untuk menunggu bagi menyelesaikan isu berbangkit di CIQ, sebaliknya mengambil langkah segera untuk jangka sederhana dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, antara usaha dan langkah jangka pendek yang dilakukan adala menempatkan 100 pegawai imigresen tambahan pada Jun ini dan tambahan 250 pegawai imigresen lagi pada September akan datang.
“Kedua, penambahan bilangan bas penumpang dan penambahbaikan jadual perkhidmatan bas bagi kemudahan pengguna. Ketiga, mengubahsuai kedudukan e-gate. Keempat, menambah 104,500 jumlah pelekat M-BIKE.
“Kelima, kawalan aliran trafik terutaa di laluan bas. Keenam, mempercepatkan tempoh masa palang motosikal. Keenam, menyelenggara dan membaik pulih bilik air, lif dan eskalator. Terakhir, membuka ruang tempat letak kenderaan bermotor untuk pegawai dan orang awam,” katanya.
Ujarnya, kerajaan negeri juga tidak hanya menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan sahaja, tetapi mengambil usaha dan memberikan sumbangan kepada kedua-dua CIQ yang melibatkan kerja naik taraf serta memberikan keselesaan untuk petugas dan orang awam.
Antaranya, menaik taraf keperluan pejabat dan bilik rehat staf imigresen, kerja tambahan dan pengubahsuaian ‘awning’ (sengkuap) di laluan motosikal CIQ BSI, menaik taraf peralatan dan kelengkapan pegawai imigresen.
Selain itu, pemasangan ‘portable aircond atau air cooler’ untuk keselesaan pegawai imigresen, memasang kipas industri di ruang menunggu penumpang serta menaik taraf ruangan dan pembekalan peralatan solat oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Kerajaan Negeri sedar dan insaf bahawa usaha untuk menyelesaikan masalah ini menuntut penglibatan semua pihak terutamanya Kerajaan Persekutuan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih di atas kerjasama yang cukup baik yang diberikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Dato’ Ruslin Jusoh,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor