KERAJAAN NEGERI , PERSEKUTUAN KERJASAMA TANGANI ISU SETINGGAN


Program Perumahan Rakyat (PPR) Cahaya Senibong dekat Permas Jaya akan menempatkan penduduk setinggan sebanyak 165 keluarga. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus bekerjasama bagi menangani isu setinggan di Negeri Johor terutamanya kawasan yang sering menghadapi masalah banjir kilat dan terletak sekitar tepi sungai.

 

Antara usaha tersebut adalah pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) Cahaya Senibong dekat Permas Jaya yang akan menempatkan penduduk setinggan 165 keluarga dari Kampung Dato’ Hajah Hasanah dan tujuh keluarga Kampung Sri Makmur.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan sebanyak 200 daripada 400 unit PPR Cahaya Senibong akan diberikan kepada penduduk setinggan yang berada dalam senarai permohonan.

 

Sebanyak RM85.8 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan rumah pangsa berbilang tingkat PPR Cahaya Senibong di atas tanah seluas 8.04 ekar.

 

Untuk rekod, sebanyak 13 PPR telah siap dibina, enam projek dalam pembinaan manakala dua projek bakal dibina tahun hadapan menjadikan jumlah keseluruhan projek di Johor adalah sebanyak 21 projek sekali gus negeri yang tertinggi menerima PPR di semenanjung.

 

Terdahulu, berlangsungnya penyerahan PPR Cahaya Senibong oleh KPKT kepada Kerajaan Negeri yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Pembangunan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Dr. Mohd Shahrizan Sahid; Ahli Dewan Negeri Permas, Baharudin Mohamed Taib serta Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor