KERAJAAN NEGERI PERUNTUK RM3.3 JUTA PERKASA PERANAN KEMAS JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir diiringi YBhg. Datuk Mohd Hanafiah Man, Ketua Pengarah KEMAS merasmikan Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI KEMAS Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Kluang – Kerajaan Negeri memperuntukan RM3.3 juta bagi memperkasa peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor dalam pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak dan penambahbaikan fasiliti Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di negeri ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan khusus bagi Program Iqra dan Fardu Ain (IQFA) Tabika KEMAS yang akan memberi manfaat kepada 612 tabika seluruh Johor sebagai inisiatif penting memperkukuhkan pendidikan asas agama kepada kanak-kanak seawal usia prasekolah.
Manakala, sejumlah RM1.5 juta disalurkan bagi menaik taraf TABIKA dan TASKA KEMAS Negeri Johor melibatkan 33 projek yang dijangka dapat meningkatkan kualiti prasarana, keselesaan serta keselamatan persekitaran pembelajaran kanak-kanak.
Pada masa sama, melalui inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Tabika KEMAS akan dijadikan sebagai ‘feeder school’ yang memperkukuh kesinambungan pendidikan berkualiti dari peringkat prasekolah hingga ke sekolah menengah.
Sebagai menyokong usaha tersebut, guru-guru KEMAS juga bakal dihantar mengikuti kursus untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran agar selari dengan aspirasi pendidikan SRBJ dalam usaha melahirkan generasi cemerlang bermula dari peringkat akar umbi.
Terdahulu YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir diiringi YBhg. Datuk Mohd Hanafiah Man, Ketua Pengarah KEMAS merasmikan Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI KEMAS Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam, hari ini.
Turut hadir, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor; YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Ahli Parlimen Simpang Renggam dan YBhg. Puan Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang.
#KEMASJohor
#SRBJ
#PendidikanAwal
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor