KERAJAAN NEGERI SEDIA BANTUAN AWAL HADAPI BANJIR
Kerajaan Negeri Johor sentiasa membuat persediaan rapi bagi menghadapi pelbagai risiko bencana terutama ketika membabitkan Monsun Timur Laut yang sering berlaku di beberapa daerah seperti Kota Tinggi, Kluang dan Segamat.
Persediaan ini termasuklah penyediaan bantuan Kotak Sumbangan Bencana Negeri Johor bagi kegunaan mangsa yang terjejas dengan bencana banjir.
Bagi tujuan itu, sebanyak 1,600 Kotak Sumbangan Bencana Negeri Johor telah diagihkan secara berfasa ke daerah Muar, Mersing dan Kluang. Selain itu, bantuan itu juga akan diedarkan ke beberapa daerah lain, juga sebagai persediaan menghadapi fenomena banjir yang dijangka boleh berlaku mulai akhir November ini hingga Mac tahun depan.
Kotak bantuan berkenaan akan mengandungi beberapa jenis makanan yang sedia dimakan bagi memudahkan mangsa banjir untuk mengalas perut ketika berhadapan dengan situasi bencana tersebut. Selain itu, kotak bantuan yang sama turut dilengkapi dengan beberapa bahan lain seperti alat kebersihan diri serta kelengkapan tidur seperti selimut.
Terdahulu, Majlis Simbolik Penyerahan Kotak Sumbangan Bencana Negeri Johor untuk tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bagi Tahun 2024 dan 2025 telah disampaikan oleh YB Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan).
Hadir sama, YBhg. Tuan Haji Mohd Radzi Mohd Amin, Pengarah Eksekutif Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) Sdn. Bhd; YBHg PPj. (PA) Kamal Mokhtar, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Johor dan YBhg Tuan Pathmanathan R. Nalasamy, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor