KERAJAAN NEGERI SOKONG USAHA PELIHARA KAWASAN EKOPELANCONGAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkesempatan singgah ke Restoran Asam Pedas Kampung Sungai Melayu. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan memberi sokongan terhadap usaha memelihara kawasan ekopelancongan di negeri ini, antaranya Kampung Sungai Melayu, di sini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keunikan kampung berkenaan yang dikelilingi paya bakau dan sungai mempunyai daya tarikan tersendiri.

 

Menurutnya, selain dapat menikmati hasil laut di perkampungan nelayan berkenaan, ekopelancongan menjadi nadi utama bagi Kampung Sungai Melayu.

 

“Saya turut difahamkan sungai yang dikelilingi kawasan paya bakau ini menjadi tumpuan mahasiswa dan juga penyelidik dari universiti tempatan serta luar negara bagi menjalankan kajian mengenai habitat bakau.

 

“InsyaAllah, Kerajaan Negeri Johor akan memberi sokongan untuk terus memelihara ekopelancongan di sini bukan sahaja memberi manfaat dan ilmu kepada pengunjung, tetapi memberi kelebihan dari sudut ekonomi kepada penduduk tempatan termasuk nelayan,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Isnin.

 

Selain tarikan keenakan makanan laut yang segar hasil nelayan setempat, Kampung Sungai Melayu juga terkenal dengan pelbagai aktiviti ekopelancongan.

 

Antaranya, lawatan bot menyusuri paya bakau, pemerhatian burung, menangkap ketam, melawat kawasan ternakan kupang, produk tempatan dan kehidupan nelayan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor