KERTAS SIASATAN ISU KERACUNAN IKAN BUNTAL DALAM TINDAKAN TPR


JKNJ sentiasa menjalankan aktiviti risikan dan pemantauan penjualan ikan buntal di negeri ini. | Sumber foto: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memaklumkan kertas siasatan berhubung isu keracunan ikan buntal dan kematian dua warga emas di Kluang, pada Mac lalu, sudah dilengkapkan dan dalam tindakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

 

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut berkata, JKNJ juga sentiasa menjalankan aktiviti risikan dan pemantauan penjualan ikan buntal.

 

Menurutnya, sebanyak 40 aktiviti pemantauan di 139 premis di seluruh negeri ini, sudah dijalankan bagi memastikan tiada penjualan ikan buntal.

 

“Aktiviti promosi bahaya ikan buntal yang mengandungi tetrodotoxin juga dibuat di platform media sosial seperti Facebook dan ceramah-ceramah kesihatan dan membuka booth yang menyediakan permainan interaktif keselamatan makanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

 

Mohtar berkata, risikan dan pemantauan penjualan ikan buntal di pasaran masih dilakukan secara berterusan.

 

“Jabatan juga menggesa orang ramai agar berhati-hati di dalam memilih makanan terutamanya jika ia berkaitan dengan ikan buntal,” katanya.

 

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut memberitahu JKNJ mengambil maklum akan kenyataan media anak kepada pasangan warga emas terbabit, Ng Ai Lee, pada Ahad.

 

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Ai Lee yang menggesa laporan siasatan dapat segera diserahkan kepada mereka kerana mendakwa masih belum menerima sebarang laporan sejak insiden tersebut berlaku.

 

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon seperti laporkan media juga meminta Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan JKNJ untuk segera menghantar laporan perkembangan kertas siasatan berhubung insiden tersebut.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor