KERAJAAN NEGERI YAKIN KEMAMPUAN ATLET JOHOR DALAM SUKAN SEA
JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor berkeyakinan dengan kemampuan atlet Johor dalam kontinjen Malaysia yang kini berjuang di Sukan SEA Edisi Ke-32 di Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, seramai 66 atlet Johor terpilih mewakili negara dalam temasya sukan tersebut.
Menurutnya, atlet Johor akan membawa cabaran Malaysia dalam sukan akuatik-renang, badminton, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, chess-xianqi, kriket, e-sukan, hoki, judo, pencak silat, olahraga, karate, lawan pedang, kick boxing, petanque, sepak takraw, wushu, ping pong dan perlumbaan bot tradisional.
“Saya yakin dan percaya (kemampuan) kontinjen Malaysia dengan penyertaan atlet rata-rata dari Negeri Johor iaitu seramai 66 orang keseluruhan.
“Dijangkakan, pingat-pingat yang akan diraih (kontinjen Malaysia) pastinya datang dari atlet-atlet Johor,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1444H/2023M Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Johor Larkin, di sini, hari ini.
Mohd Hairi turut memaklumkan beliau bersama delegasi Kerajaan Johor akan ke bumi Kemboja bagi memberikan sokongan kepada atlet Johor dalam temasya sukan berkenaan pada 15 hingga 17 Mei ini.
“Kehadiran kami untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada kontinjen Malaysia terutama atlet Johor yang bertanding demi negara tercinta,” katanya.
Terdahulu, beliau selaku tuan rumah kepada rumah terbuka Aidilfitri menerima kehadiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dan Ahli Dewan Negeri Johor yang memeriahkan majlis.
Turut hadir, Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Johor; Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan; pemimpin-pemimpin setempat; pengamal media serta masyarakat sekitar Parlimen Johor Bahru khususnya Dewan Undangan Negeri Larkin.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor