EMPAT ASPEK PACU KLUANG MUNCUL BANDAR PALING BAHAGIA


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kiri), menerima cenderamata dari ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin selepas merasmikan program Kluang Bandar Bahagia Masyarakat Malaysia Madani, di sini, hari ini. | Foto oleh : Saufi Razale, MDJ

 

KLUANG — Empat aspek memacu daerah Kluang muncul antara 10 Bandar Paling Bahagia 2022 di negara ini.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesemua aspek tersebut adalah keluarga, kesihatan, kejiranan dan kemudahan.

 

“Berdasarkan kajian yang telah dijalankan pada setiap tahun, aspek paling bahagia di negeri Johor ialah keluarga, kesihatan, kejiranan dan kemudahan.

 

“Hasilnya, Kluang muncul berada di tangga teratas di negeri Johor dan tersenarai dalam 10 Bandar Paling Bahagia 2022 di Malaysia.

 

“Menerusi pengiktirafan ini, ia akan menjadi pemangkin untuk pihak kerajaan tempatan dan juga wakil rakyat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Program Kluang Bandar Bahagia Masyarakat Malaysia Madani, di sini, hari ini.

 

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Fadzly Mohd Kenali; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin, dan ADUN Mahkota, Dato’ Sharifah Azizah Dato’ Syed Zain.

 

Akmal berkata, keseluruhan sebanyak 117 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil bahagian di dalam kajian indeks kebahagiaan bandar menerusi Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Malaysia (MURNInets).

 

“Kementerian juga mengambil kira kriteria berdaya hidup, kepelbagaian budaya, kesihatan, pendidikan dan kecekapan urus tadbir.

 

“Jadi, saya amat menghargai usaha semua pihak di Kluang bagi memastikan bandar yang dihuni dapat dijaga sebaik mungkin dan menjadi bandar paling bahagia,” katanya.

 

Beliau turut menyeru PBT di negeri Johor untuk bekerja keras dan berdaya saing bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan dan memenuhi aspirasi masyarakat setempat.

 

Selain Kluang, Petaling Jaya, Manjung, Gua Musang, Klang, Kulai, Krai, Kuantan, Rompin dan Alor Gajah turut dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor