CUKAI HARTANAH BARU SINGAPURA BERI KELEBIHAN KEPADA JOHOR


Mohd Jafni menyantuni tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri.

 

MUHAMAD SYAFIQ MOHD TAYEB

 

KULAI — Langkah Singapura menggandakan cukai hartanah kepada bukan pemastautin minggu lalu, dijangka memberi kelebihan bagi mengatasi isu lambakan hartanah mewah tidak terjual atau ‘property overhang’ di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah negara jiran itu mendorong pembeli asing terutama kelas atasan untuk membeli hartanah di Johor.

 

“Kita (Johor) mengalu- alukan pembeli asing di Singapura untuk membeli hartanah di Johor khasnya. Di peringkat dasar Kerajaan Negeri Johor, nilai rumah berharga RM 1 juta dan ke atas dibuka kepada pembeli warga asing.

 

“Bukan sahaja dari segi rumah pangsapuri, ada juga rumah teres dan banglo yang melebihi harga RM 1 juta”, katanya ketika ditemui Media Digital Johor di Majlis Rumah Terbuka Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Johor Bukit Permai di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, di sini, hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor.

 

Mohd Jafni turut menegaskan bahawa pembelian asing itu tidak melibatkan hartanah yang disediakan khusus kepada rakyat negeri ini, seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bernilai RM150,000.

 

Juwai IQI sebelum ini dilaporkan menjangkakan langkah Singapura menggandakan cukai hartanah bagi bukan pemastautin berkemungkinan mendorong peningkatan kira-kira 15 peratus pembelian asing di Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Kumpulan teknologi hartanah global itu dalam satu kenyataan memaklumkan langkah tersebut akan mendorong lebih ramai pembeli asing kelas atasan untuk membeli hartanah di Malaysia terutama di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Terdahulu, Mohd Jafni selaku tuan rumah majlis rumah terbuka Aidilfitri menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani serta Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor