KERJA PENYELENGGARAAN PERUMAHAN EDL SIAP SEPENUH TAHUN DEPAN


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerja penyelenggaraan melibatkan rumah pangsa kos sederhana rendah di jajaran Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) telah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

Kediaman yang turut dikenali sebagai perumahan EDL dan mula dibina pada tahun 2008 itu terdiri daripada Pangsapuri Desa Jaya, Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah, Pangsapuri Desa Melayu dan Pangsapuri Desa Belantik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerosakan akibat vandalisme di perumahan EDL melibatkan pendawaian elektrik, lif, injap pelampung tangki air, loji rawatan kumbahan (STP) dan rumah pam STP itu berlaku pada tahun 2020.

Menurutnya, pada Oktober 2021, kerajaan negeri bersetuju melantik JKR Johor sebagai agensi pelaksana bagi kerja baik pulih loji STP, sistem elektrik, mekanikal meliputi sistem pencegahan kebakaran serta pembaikan lif.

“Pada 28 dan 29 Jun 2022, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor telah melawat keadaan kerosakan di perumahan EDL.

“Bagi memantau prestasi kerja pihak KPRJ Builders Sdn. Bhd. YAB Menteri Besar Johor sendiri telah melawat perumahan EDL pada 8 Ogos 2022. Kerja-kerja penyelenggaraan telah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada 2023,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Stulang, Chen Kah Eng mengenai tindakan bagi menyelesaikan masalah infrastruktur di perumahan EDL terletak di Johor Bahru.

Mohd Jafni berkata, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) juga sedang membantu mempercepat proses menubuhkan perbadanan pengurusan (MC) dan badan pengurusan bersama (JMB).

“(Penubuhan MC dan JMB) agar yuran penyelenggaraan dapat dikutip dan kerja-kerja penyelengaraan berkala di pangsapuri tersebut boleh dilaksanakan secara sistematik,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor