KESEJAHTERAAN RAKYAT KEUTAMAAN KESULTANAN JOHOR
Oleh: Farhan Khair
Sultan Johor sejak dari zaman pemerintahan terdahulu sering dilihat suka mendekati rakyat. Adakalanya ia tidak dilaporkan di mana-mana media namun rakyat Johor umum mengetahuinya hasil dari pengalaman sendiri.
DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta Keluarga DiRaja juga sering kali memberi sumbangan kurnia peribadi kepada keluarga mangsa-mangsa banjir setiap kali terjadi bencana. Baginda Tuanku juga sanggup menangguh urusan lain dan terus memandu sendiri ke lokasi bencana di setiap daerah yang terlibat.
Sumbangan kurnia dari Keluarga DiRaja Johor tidak terhad kepada bantuan bencana malah turut meliputi pelbagai perkara seperti pendidikan, kesihatan, lanskap dan lain-lain.
Antaranya adalah seperti pada tahun 1920-an, Almarhum Sultan Sir Ibrahim pernah memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa bencana banjir luar biasa kepada negeri di luar Johor seperti yang berlaku di Perak dan Selangor. DYMM Sultan Ibrahim juga pernah menyumbang bantuan RM1 juta kepada Kerajaan Sabah ketika kejadian gempa bumi di negeri berkenaan.
Selain itu, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut mempunyai cara tersendiri sebagai pewaris takhta yang amat menjiwai kesusahan rakyat. Baginda Tunku sendiri menetapkan sumbangan peribadinya kepada keluarga fakir miskin di setiap daerah-derah dalam negeri Johor Darul Ta’zim.
Bagi tujuan itu, setiap pejabat daerah ditugaskan untuk menyerah sumbangan peribadi Baginda Tunku berbentuk wang tunai, barangan keperluan asas, makanan dan juga perubatan.
Program seperti Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilham oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar juga merupakan program inisiatif Keluarga DiRaja untuk bertemu sendiri rakyat di setiap daerah dan pelosok Johor.
#KesultananJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor