MRR : KEBITARAAN PEMERINTAHAN DYMM SULTAN JOHOR YANG BERWIBAWA


DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. | Foto Royal Press Office

 

Ketegasan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim acap kali mendapat liputan media tempatan mahupun antarabangsa, apatah lagi titah dizahirkan dalam bentuk teguran terutama berkaitan isu pentadbiran dan isu semasa menjadi ‘wake-up call’ kepada Badan Eksekutif. Tidak kiralah di peringkat Negeri mahupun Persekutuan, Baginda Tuanku Sultan sering memberikan nasihat bagi membenam kelakuan ‘tidak kemas’ dan berfaedah dalam tadbir urus kerajaan seterusnya membimbing untuk membina dan memenuhi impian sebuah masa depan yang lebih baik dan gemilang.

 

Setiap titah yang mungkin tidak disenangi oleh sebilangan pihak mahupun individu, sebenarnya memanifestasikan betapa Sultan Ibrahim sebenarnya berpandangan jauh ke hadapan seterusnya mahu negeri dan negara ini ditadbir dengan baik dalam mendepani realiti baharu dunia yang berubah 360 darjah dan penuh mencabar. Hal ini kerana Baginda Tuanku Sultan sentiasa meletakkan keutamaan kepada urusan menjaga kebajikan rakyat sekali gus menterjemahkan sisi sifat penyayang dan pemurahnya kepada kira-kira 4 juta Bangsa Johor dan tidak kecuali keseluruhan rakyat Malaysia, yang memperteguhkan keperibadian tegas seorang Raja Berjiwa Rakyat.

 

KEPERIBADIAN SULTAN IBRAHIM ANGKAT JOHOR KE PERSADA GLOBAL

 

Diputerakan pada 22 November 1958, Sultan Ibrahim telah dididik dan diasuh sebagai seorang Raja yang berwibawa dan berdaulat malah mengikuti jejak langkah kesultanan terdahulu dengan terlibat dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran yang membentuk keperibadian yang holistik Baginda Tuanku Sultan. Maka tidak hairan sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010, Sultan Ibrahim di mata rakyat merupakan seorang Raja yang adil lagi bijaksana dalam pemerintahannya malah sukar untuk dicari ganti kerana sentiasa peka terhadap pembangunan negeri mahupun negara selain cakna terhadap kebajikan rakyat keseluruhannya.

 

 

 

Atas keperibadian dan di bawah naungan Baginda Tuanku Sultan juga, Johor yang berkeluasan kira-kira lebih 19,000 kilometer persegi bukanlah suatu keterasingan kepada para pemimpin serata dunia bahkan pelancong mahupun pelabur antarabangsa. Ciri kepimpinan dimiliki oleh Sultan Ibrahim dalam hal-hal berkaitan kenegaraan sememangnya tidak dapat disangkal. Selain menerima mengadap pemimpin dunia, Baginda Tuanku Sultan juga akan didatangi oleh para diplomat kanan dan duta besar dari kebanyakan negara yang memperkukuhkan hubungan kerjasama luar negeri bagi Negeri Johor.

 

 

Setiap titah mahupun perkongsian daripada Baginda Tuanku Sultan juga sentiasa sarat dengan amanat, pesanan dan mesej yang amat signifikan sekali gus menggambarkan keperibadiannya yang tiada taranya sebagai seorang Raja dengan keteguhan bernegara yang mengasihi tanah air serta rakyatnya. Sejarah juga pernah membuktikan Johor mempunyai pertalian yang akrab dengan negara-negara luar terutama ketika pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim apabila telah mengadakan hubungan baik bersama pemimpin- pemimpin negara luar antaranya Eropah, Asia, Amerika Syarikat, Afrika dan Australia.

 

Mengikuti jejak langkah kesultanan terdahulu, Baginda Tuanku Sultan bukan sahaja telah meneruskan usaha memodenkan negeri ini menerusi jalinan hubungan dengan luar, malah memperkukuhkan hubungan diplomasi serta menandakan bahawa Johor sebagai negeri yang berdaulat. Daripada hubungan diplomatik ini, ia telah mempengaruhi perkembangan kemajuan negeri seterusnya mengembang ekonomi dan perdagangan di Johor sekali gus meningkatkan keyakinan negara luar terhadap kestabilan, kemakmuran serta kemajuan negeri untuk dipilih sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia pada hari ini.

 

LEBIH SEDEKAD SULTAN IBRAHIM MEMAYUNGI RAKYAT

 

Mengimbas kembali lebih sedekad Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor, telah berlakunya banyak perubahan positif malah negeri terkenal dengan jolokan ‘Permata Selatan’ terus mengalami kemodenan, kepesatan pembangunan yang luar biasa serta terangkum meskipun bersilih ganti pentadbiran kerajaan. Peka dan prihatin mengenai pembangunan fizikal di negeri ini, Baginda Tuanku Sultan sentiasa memantau malah memberi teguran dan pandangan agar segala projek pembangunan yang mahu dilaksanakan benar-benar mampu menjana ekonomi negeri serta memberikan manfaat kepada Bangsa Johor.

 

Bersilih ganti enam Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri sehingga yang terkini iaitu YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor Ke-19, kemajuan yang dicapai oleh Negeri Johor begitu memberangsangkan di bawah naungan Baginda Tuanku Sultan yang banyak memanifestasikan fikiran sebagai dorongan kepada pentadbiran kerajaan. Sultan Ibrahim sangat disenangi oleh Bangsa Johor sebagai seorang Raja yang dekat dengan rakyat. Baginda Tuanku Sultan sering menyantuni rakyat jelata yang ditimpa musibah malah berkenan membawa Keluarga DiRaja Johor terutama paduka anakanda mendekati golongan yang memerlukan.

 

 

Lebih sedekad Baginda Tuanku Sultan bersemayam di atas takhta pemerintahan sebagai Sultan Johor, Sultan Ibrahim bukan sahaja memberikan tumpuan terhadap pembangunan dalam aspek fizikal semata-mata, tetapi turut menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dari setiap pelosok negeri. Bahkan kemuliaan Sultan Ibrahim yang sentiasa peduli terhadap kehidupan Bangsa Johor ini sudah bermula ketika Baginda Tuanku Sultan merupakan Tunku Mahkota Johor menerusi penganjuran Kembara Mahkota Johor (KMJ) bermula pada tahun 2001 yang menjadi wadah bagi Keluarga DiRaja Johor bertemu dengan rakyat.

 

 

Kembara ke seluruh pelosok negeri yang menjadi acara tahunan dan ‘signature event’ bagi Keluarga DiRaja Johor masih diteruskan sehingga ke tahun ini (kecuali tahun negara dilanda pandemik COVID-19) turut dijadikan sebagai lawatan rasmi bagi melihat pembangunan setempat di daerah-daerah bersama pegawai-pegawai kerajaan. Di samping itu, sifat murah hati Sultan Ibrahim bersama Keluarga DiRaja Johor dan Yayasan-Yayasan DiRaja Johor juga tidak dapat disangkal, dengan kurniaan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan yang memberikan dimensi istimewa hubungan antara Raja dengan rakyatnya.

 

Keprihatinan Sultan Ibrahim ketika dunia dan negara dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2020 hingga ke fasa endemik awal tahun 2022 tidak mungkin untuk dilupakan. Baginda Tuanku Sultan pernah menitahkan agar semua pemimpin mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah sekali gus memikul tanggungjawab demi kemaslahatan rakyat. Titah ingatan ini turut disusuli dengan ingatan agar semua pihak termasuk pihak swasta menggembleng tenaga membantu menangani situasi belum pernah berlaku sebelum ini pada ketika itu selain menyeru kepada rakyat supaya tidak meragui untuk menerima suntikan vaksin selain mengurniakan sumbangan peribadi bagi pembelian peralatan keperluan hospital. Untuk rekod, Keluarga DiRaja Johor telah menyumbangkan lebih RM123 juta bagi membantu rakyat di negeri ini, berhadapan dengan cabaran sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang mencakupi pelbagai jenis bantuan yang memberikan manfaat kepada mereka yang terkesan.

 

 

Tidak terkecuali dengan keprihatinan DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah yang turut mengurniakan sumbangan kepada pelbagai Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), rumah-rumah kebajikan dan penggerak masyarakat sebagai cerminan betapa kasihnya Baginda Tuanku Permaisuri kepada rakyatnya. Malah tanpa mengira masa dan tidak bersifat bermusim, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim juga sentiasa memberikan kurniaan sumbangan kepada keluarga kurang berkemampuan di setiap mukim di daerah-daerah di Negeri Johor yang disampaikan melalui Pejabat-Pejabat Daerah. Begitu juga keprihatinan YAM Che’ Puan Besar Khaleeda terhadap golongan wanita, kanak-kanak, keluarga dan masyarakat di Negeri Johor dalam bidang pendidikan, kebajikan mahupun sukan.

 

 

KESEDIAAN SULTAN IBRAHIM LAKSANA TUGAS NEGARA

 

Menjelang mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang bakal menyaksikan pemilihan KDYMM SBP Yang Di-Pertuan Agong Ke-17 yang bersemayam selama lima tahun iaitu mengikut suatu sistem yang unik di dunia, Baginda Tuanku Sultan dalam satu temu bual eksklusif telah bertitah menzahirkan kesediaan untuk memikul tanggungjawab besar ini. Mendahului senarai penggiliran menaiki takhta sebagai Yang Di-Pertuan Agong, Baginda Tuanku Sultan turut menzahirkan keutamaannya untuk menjaga dan sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat dengan menggalas amanah serta tanggungjawab bagi pihak Raja-Raja Melayu seandainya Allah SWT mengkehendaki ianya berlaku.

 

Difahamkan, rata-rata rakyat di negara ini menantikan detik bersejarah pemilihan KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong Ke-17 bagi menggantikan pemerintahan lima tahun Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 yang dijadualkan berakhir pada penghujung Januari 2024. Kesimpulannya, mendepani cabaran pertumbuhan pembangunan yang pesat Malaysia pada masa hadapan yang penuh liku dan rintangan, telek pandang serta titah nasihat daripada KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong kepada Kerajaan Persekutuan amatlah wajar untuk diberikan perhatian khusus demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

 

 

 

Semoga DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang amat dikasihi dan disayangi yang bertakhta di hati sanubari Bangsa Johor diangkat sebagai KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong yang baharu, Insya-Allah. Turut mendoakan semoga Sultan Ibrahim bersama DYMM Permaisuri Johor senantiasa berada dalam keafiatan, dengan segala kebesaran dan kedaulatan bagi terus berperanan sebagai lambang ‘payung’ dan menjadi tempat rakyat dapat berteduh sesuai dengan semangat Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Didoakan kesejahteraan juga kepada DYAM Tunku Mahkota Johor bersama YAM Che’ Puan Khaleeda serta keseluruhan Keluarga DiRaja Johor.

 

Prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara di dalam Rukun Negara tetap dijadikan sebagai pegangan setiap rakyat di negara ini, kerana ia menjadi ‘tiang seri’ kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum seterusnya menegakkan slogan ‘Muafakat Itu Berkat’ yang tersemat dalam jiwa setiap Bangsa Johor selama ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor