KETEGASAN SULTAN IBRAHIM AMAT DINANTIKAN
Ketegasan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor terhadap isu berkaitan rakyat serta dasar kerajaan dijangka akan mencorak satu sinergi baharu antara Istana Negara dan Putrajaya.
Prof Dr. Azmi Hassan, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Nusantara memuji kepimpinan dan keperibadian Baginda Tuanku Sultan termasuk kesediaannya berkongsi titah pandangan berkaitan hal ehwal semasa yang dilihat sangat dekat dengan hati rakyat.
Sebagai contoh, DYMM Sultan Ibrahim telah bertitah menzahirkan kekecewaan terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan dan tahap kebersihan rumah pangsa kos rendah di negeri ini, selain berada dalam keadaan daif.
Di samping itu, titah Sultan Johor yang sebelum ini agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong juga tidak wajar disalah erti oleh mana-mana pihak.
Sebaliknya, langkah tersebut sekiranya dilaksanakan merupakan suatu tindakan berani yang mencerminkan ketegasan Baginda Tuanku Sultan dalam menegakkan konsep ‘rule of law’.
Mengulas titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam podcast Keluar Sekejap bahawa Perdana Menteri bakal berhadapan ‘tough times’ di bawah pemerintahan DYMM Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong pula, Azmi memberitahu titah berkenaan perlu dilihat dari sudut pandang positif.
Titah berkenaan lebih menjurus kepada persoalan bagaimana Perdana Menteri mahu memenuhi hasrat dan titah Baginda Tuanku Sultan ketika memerintah negara sekali gus mampu memberi ‘happy times’ kepada rakyat.
Selain itu, konsep Kembara Mahkota Johor dimulakan DYMM Sultan Ibrahim sejak tahun 2001 juga menarik diperluaskan ke peringkat nasional untuk menjadi platform Baginda Tuanku Sultan menyantuni rakyat, yang dijangka bakal menerima sambutan hangat.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor