KIOSK ZAKAT MEMUDAHKAN URUSAN PEMBAYARAN ZAKAT
ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyediakan kiosk pembayaran zakat terbaharu di aras 4, Paradigm Mall Johor Bahru, dekat Skudai.
Penolong Pengarah Pengurusan Pungutan Zakat MAINJ, Ustaz Shafie Mustafa berkata, kiosk di pusat membeli itu merupakan yang kedua selepas kemudahan sama diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) sejak hampir sebulan lalu.
“Kiosk zakat ini adalah untuk memudahkan (transaksi) pembayaran zakat (lebih pantas dan mudah) sekali gus memenuhi tuntutan Rukun Islam yang keempat.
“Sama ada Zakat Fitrah, Zakat Perniagaan atau semua jenis zakat, ada dalam pilihan di kiosk zakat yang kita sudah letakkan di Paradigm (Mall Johor Bahru),” katanya kepada Media Digital Johor yang turut mensasarkan Angsana Johor Bahru Mall sebagai lokasi ketiga menempatkan kiosk sama.
Shafie berkata, kiosk zakat itu boleh diakses untuk pembayaran dengan hanya mengimbas kad pengenalan atau memasukkan maklumat peribadi yang diperlukan.
Ujarnya, Paradigm Mall Johor Bahru dipilih untuk ditempatkan kemudahan berkenaan berikutan pusat membeli-belah tersebut yang merupakan antara destinasi tumpuan pengunjung.
Sementara itu, penjawat awam dikenali sebagai Luqman, 37, berkata, kiosk zakat di Paradigm Mall amat memudahkan urusan orang awam membayar zakat.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya menggunakan (transaksi secara) ‘online’, berbanding sebelum ni. Jadi bila ada kiosk ni, lagi mudah bagi saya dan orang ramai (untuk menunaikan zakat pada bila masa sahaja).
“Dengan ada kiosk ni, sambil membeli-belah, boleh singgah ke kiosk (zakat) ni. Contoh macam sekarang, boleh buat (bayar) Zakat Fitrah, Zakat Pendapatan” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor