KERAJAAN JOHOR CARI TITIK PENYELESAIAN : ISU DLP


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, beliau sedaya upaya mencari titik penyelesaian untuk semua pihak. Foto ehsan : Facebook Norliza Noh

 

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri memahami kebimbangan ibu bapa dan pelajar di sebuah sekolah di Johor Bahru, berikutan isu Program Dwi-Bahasa (DLP) sehingga berlakunya demonstrasi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, beliau sedaya upaya mencari titik penyelesaian untuk semua pihak.

 

“Saya percaya bahawa masa depan dan kemenjadian murid sentiasa menjadi keutamaan kita semua.

 

“Saya juga mengharapkan semua pihak bertenang dan dapat memberikan ruang kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) untuk memberikan keputusan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

 

Norlizah berkata, dimaklumkan kira-kira 100 ibu bapa dari sebuah sekolah di Johor Bahru mengadakan demonstrasi berhubung penurunan mendadak bilangan kelas DLP di sekolah terbabit.

 

“Saya mengambil maklum dan telah mengadakan sesi perbincangan bersama JPNJ. Untuk makluman, perbincangan mengenai isu ini sedang dilaksanakan di peringkat KPM.

 

“Selain pandangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), maklumat serta data dapatan sedang dikumpul dan dibincangkan di pelbagai peringkat sebelum pertimbangan semula dapat dibuat,” katanya lagi.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor