JDT MARA KE SUKU AKHIR PIALA FA


Bergson Da Silva meraikan jaringan gol beliau pada pertemuan menentang PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim yang berkesudahan 3-0 milik JDT | Foto: JOHOR Southern Tigers

 

ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya melangkah ke suku akhir saingan Piala FA 2023 selepas menewaskan PDRM FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Pada aksi pusingan 16 pasukan itu, JDT membuka jaringan seawal minit ke-3 menerusi Bergson Da Silva yang menanduk masuk hantaran lintang dari Arif Aiman Hanapi.

Skuad bimbingan Esteban Solari itu terus mengasak kubu skuad The Cops sebelum Bergson dan Leandro Velazquez menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pada minit ke-12 dan 27.

Aksi di separuh masa kedua pula agak perlahan dengan menyaksikan Harimau Selatan mengendurkan asakan biarpun mengekalkan penguasaan bola.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berterusan menyerang menerusi beberapa gerakan licik di bahagian sayap namun benteng PDRM FC terlalu ampuh untuk ditembusi.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat permainan sekali gus membawa JDT meneruskan misi mempertahankan kejuaraan dalam saingan Piala FA.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor

Sumber foto: JOHOR Southern Tigers