KKPS MAMPU SEDIAKAN PROSES PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Parit Sulong, Batu Pahat / Foto Ihsan Kementerian Pengajian Tinggi.

 

BATU PAHAT — Warga daerah ini khususnya penduduk di Parit Sulong berpeluang menikmati proses pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dengan lebih selesa apabila Kolej Komuniti Parit Sulong (KKPS) akan mempunyai bangunan kampusnya tetapnya sendiri.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata menyedari pendidikan adalah satu pelaburan terbaik bagi membina negara bangsa, kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai medium yang sesuai bagi membolehkan masyarakat mendapat akses pelajaran yang lebih mudah.

“Ini termasuklah pembinaan Kolej Komuniti yang menjadi antara platform yang diwujudkan oleh kerajaan untuk menawarkan proses PSH kepada masyarakat bagi mengilap bakat dan potensi modal insan di negara ini.

“Justeru, majlis pecah tanah bagi membina kampus tetap KKPS ini diharapkan bukan sahaja memperkasakan bidang pengajian tinggi di negara ini tetapi juga mampu membawa perubahan besar khususnya kepada komuniti di Parit Sulong ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Pecah Tanah KKPS di Parit Sulong di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dato’ Dr Husaini Omar.

KKPS yang sudah pun beroperasi sejak Januari 2021 kini menjalankan operasi pengajiannya di kampus satelit yang terletak di Taman Industri D’Cabin, Medan Niaga Seri Sulong.

Kampus tetap KKPS yang dibina atas tanah berkeluasan 9.822 ekar itu dijangka dapat menampung seramai 240 pelajar selain turut menyediakan pelbagai fasiliti seperti bilik kuliah, asrama lelaki dan perempuan, ruang aktiviti serta pada permainan yang mesra orang kelainan upaya (OKU).

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, pelaksanaan program PSH khususnya menerusi pengajian kolej komuniti juga terbukti berjaya membentuk komuniti yang dinamik terutama dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta taraf sosio ekonomi meliputi belia dan golongan rentan.

“KKPS ini juga menawarkan bidang pengajian seperti Sijil Perkhidmatan Logistik dan Sijil Pengoperasian Perniagaan selain program PSH seperit komputer dan teknologi maklumat; katering dan sajian, jahitan dan pakaian; perniagaan dan keusahawanan serta ‘upskilling’ perkhidmatan logistik.

“Selain itu, KPT juga turut menyediakan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK) kepada pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat sijil. Pelajar yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM300 sebuan bagi dua semester,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor