KERAJAAN NEGERI PANTAU PERKEMBANGAN BANJIR DI SEGAMAT


Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Salleheen Mohamad bersama sukarelawan Southern Volunteers (SV) menyampaikan sumbangan Balairaya Kampung Batu Badak.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan memantau secara dekat perkembangan banjir di Segamat, yang menyaksikan dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, beliau juga akan memastikan sukarelawan dan Skuad Tindak Cepat SV dalam keadaan bersedia.

“Saya selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor akan memastikan dan memantau secara dekat keadaan di Segamat selain memastikan semua Sukarelawan dan Skuad Tindak Cepat SV bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan,” tulisnya dalam Facebook rasminya, hari ini.

Mohd Hairi dalam posting tersebut turut bersyukur atas tindakan pantas sukarelawan Southern Volunteers (SV) membantu menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Balairaya Kampung Batu Badak hari ini.

“Sebanyak dua kawasan terjejas banjir semalam di Segamat iaitu Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 membabitkan seramai 17 mangsa daripada lima keluarga yang terpaksa dipindahkan ke PPS.

“Tahniah dan syabas kepada saudara Salleheen Mohamad, Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) yang juga Calon BN untuk kerusi Parlimen P.141 Sekijang yang turut sama hadir bersama Skuad Sukarelawan SV di PPS,” tulisnya.

Dilaporkan dua PPS beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir iaitu Balairaya Kampung Kuala Paya dan Balairaya Gemereh 4, Batu Badak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor